Wednesday, June 29, 2011

Sekuntum Puisi Di Hari Jadimu

Memang pernah aku janjikan,
Mencorakkan kanvas yang dibentangkan,
Tetapiku belum pernah mulakan,
Agar selingkar pelangi teranyamkan,
Penyeri puisi yang mencanangkan,
Sebuah ceritera cinta eceran,
Kasih yang telah dipertemukan,
Detik malam 27 Jun,
Sewaktu usiamu menjejak keremajaan.

Bukankah pernah padamu kukatakan,
“Pungguk tak jemu menangisi bulan,
Ikal dengan A Ling sememangnya sepadan (tetralogi Laskar Pelangi),
Cinta Romeo dan Juliet masih berkekalan,
Taj Mahal tetap lambang sebuah keagungan,
Cinta Kumang dan Keling adalah warisan,
Sedang Cinderella hanya ceritera khayalan.”
Kerlingan matamu seolah-olah menafikan,
“Itu secebis kisah ketinggalan zaman.”

Pernah juga kucuba beringat,
Aku bukan pujangga terhebat,
Atau anak Yang Terhormat,
Menjanjikan bintang menjadi azimat,
Menggauli mimpi dari dakwat
Sesungguhnya aku tidak larat.

Seharusnya ini bukan kebiasaan,
Waktu saksi segala-gala kejadian,
Malam berseri diterangi rembulan,
Bandaraya Kuching ceria bergemerlapan,
Gelora tenang di lautan,
Teratai layu mula berkelopakan,
Ketika malam Kita (Aku dan dirinya)diketemukan.

Masih mekar di benakku,
Dan aku bukannya penipu,
Ketika dan saat itu,
Bulan ditelan malam beradu,
Hujan berguguran tidak menentu,
Taj Mahal terus membisu,
Andrea Hirata mungkin terpaku,
Dan Shakespeare juga begitu,
Sewaktu kuserakkan isi hatiku,
“Aku sememangnya mencintaimu kekasihku!”
Kawan-kawanmu pula mulai cemburu.
“Mana mungkin?” Itu didengariku.
“Itu keajaiban.” Begitu balasmu.

Hanya senyuman hadiah dariku,
Kerana dirimu lebih tahu,
Diriku juga adalah sepertimu,
Sewaktu mata mula bertemu,
Ungkapan kalimat cinta itu,
Pasti bertamu takkan jemu,
Menghimpunkan gunung-ganang menjadi tugu,
Keindahan cintaku dan cintamu,
Persis ceritera Puteri dengan sepatu,
Selamat Hari Lahir Isteriku…..

Villa Rimba Cinta,
270611

No comments: