Thursday, November 19, 2009

Menjaring Senja Jingga




Di muara usia,
sering dia leka
menatap lukisan masa
dari potret Mona Lisa
ke compang-camping di dada
diaduni cahaya aurora
atau pelangi cuma
menghimpun pelbagai cerita.

Katanya,
Senja sering lupakan kita
merah darah ke kuning jingga
Biru lazuardi ke hitam maya
Jangan terbezakan citranya.

Biru menghampar,
usah dicabar
pasti calar.

Merah membara,
dicerca tiada
luka pula.

“Apa pilihannya?”
Hitam atau putih
warna hanya
samakan seadanya.

Kuning warna itu,
pahatkan di tugu waktu
jangan sesekali diragu
menangkan mengundang pilu
sirnakan menjadi abu.


Mujurku rabun warna?

Frankie Latit,
Sri Aman
(19 November 2009)

Wednesday, November 18, 2009

Anugerah Sastera Sarawak.....



Di samping SN dan penulis mampan Sarawak.....

Tuesday, November 10, 2009

Anugerah Tinta Kenyalang Kembali Lagi..................



Syukur. Pada 25 November 2009, saya sekali lagi dapat merasai kehangata Anugerah Tinta Kenyalang untuk tahun yang kedua.Walhal, saya tahu untuk menjejakkan kaki ke anugerah ini bukanlah sesuatu yang mudah.Tetapi saya berjaya juga untuk mengekalkan momentum penglibatan saya dalam bidang sastera.

Thursday, October 29, 2009

Ulasan Deru Benak - dicedok dari blog Jaya Ramba


Salam SatuMalaysia. Biasanya insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni. Seniman adalah petani seni yang berfikir, di samping cepat tersentuh oleh sesuatu angin peristiwa atau ribut pengalaman. Ini hujah Sasterawan Negara kita A. Samad Said suatu ketika dahulu.

Sekali lagi saya ingatkan yang karya cerpen berbeza dengan sebuah novel. Cerpen sebuah karya yang padat dengan bahasa dan aksi hebat. Maka, seharusnya hanya pekara penting sahaja yang menjadi pertarungan seorang penulis. Apakah Frankie Latit menggunakan kesempatan itu.

Franki Latit pernah mengisi ruangan WBS tetapi setelah pihak penilai mengangkat beliau, bahawa beliau seharusnya mengisi ruangan YIIB, Dewan Sastera dan dada media yang lebih tinggi tahapnya. Kemunculan DB pada ruangan YII pada Isnin - 26 Oktober 2009, bukan seperti yang saya jangkakan. DB muncul dari sudut kreatif tetapi tinggi nilainya dari sudut sejarah. Franki Latit masih silah mengatur DB menjadi karya yang tersusun. Pada pandangan saya, DB hilang permulaan, kemuncak dan pengakhiran. DB memang judul yang indah dan kuat tetapi kepadatan yang saya maksud hilang sama sekali. Antara contohnya suasana yang membazir ialah dialog:
“Balik? Abang banyak kerjalah saying. Bersepah kerja di pejabat.”
“Em…”
“Yalah. Ingat tak jadi. Abang tu macam mana?”
“Tak siap lagi.”

Dialog ini hilang makna. Ia sekadar dialog biasa yang tidak penting. Saya menganggap dialog ini membazir ruang sahaja. Seharusnya Frankie mengisi ruangan ini dengan satu ledakan kerisau watak atau masalah besar hubungan kekeluargaan yang berkaitan Sri Aman atau dengan benak.

Saya masih memikirkan apakah masalah cerpen ini sehingga menimbulkan DB berkembang sehingga kaitannya dengan judul sesuai. Saya hanya memikirkan tentang Jabau yang ingin membeli rumah kos rendah sedangkan dia pegawai kerajaan. Endun juga seorang pegawai yang berjaya. DB di mana logic permasalahannya.

Masalah kedua yang saya dapat fahami ialah bila Endun sering menyoal Jabau bila mahu balik ke kampung. Kampung mana yang Franki Latit nyatakan? Masalah ketiga yang timbul ialah bila Endun memanggil Jabau sayang dan kemudian Abang. Oleh kerana itulah saya katakana cerpen ini sedikit membazir.

Keempat, perkara yang antaranya tidak logic yang harus diselitkan ialah pengamatan Endun terhadap Jabau. Baru sekarang Endun menilai Jabau lelaki yang berkelebihan sedangkan mereka sudah hidup bertahun-tahun. Lihat petikan ini:

…Endun terpaku memandang sekujur tubuh yang disaluti kulit sawo matang, yang terpacak di depan mata. Agak teserlah juga ketampanan insan tersebut melalui penampilan dan gayanya. Ketinggiannya juga agak padan. Bagi…

Seandainya Endun baharu mengenali Jabau, mungkin penerang rangkap ini sesuai. Saya merasakan Franki Latit masih cetek untuk menyenaraikan aksi yang teratur. Sayang sekali, bahasa yang digunakan agak bertenaga. Cuma susunan cerita masih terlalu terbatas dan terhad tanpa merujuk kepada kategori kepadatan.

Apa yang menarik pada cerpen DERU BENAK ialah catatan sejarah yang benar. Saya kagum kerana penyelidikan sejarah sehingga kaitan dengan benak cukup menarik. Imbas kembali watak tentang sejarah Sri Aman membawa kepada DB menarik. Namun hilang aksi permulaan, kemuncak dan pengakhiran cerita.

Kesimpulan
Saya memang mengetahui Frankie Latit seorang penulis yang masih mentah tetapi bersungguh-sungguh menjadi seorang penulis. Bukan sahaja berstamina tetapi tidak mengenali erti serik. Seorang yang sering meminta perhatian untuk menimba ilmu. Memiliki gagasan untuk maju seperti penulis lain. Jarang saya melihat seorang penulis muda yang ingin mencuba sesuatu. Malah telah menulis beberapa buah novel walaupun pernah dinilai.

DB sebenarnya boleh diperbaiki. Diperbaiki dialognya. Diuruskan sebaik mungkin jalan ceritanya. Dipadatkan dengan aksi yang teratur. Diisi dengan sejarah yang berkait rapat dengan benak. Seharusnya diungkai sejarah benak di dasar sungai Skrang dan Sri Aman. Semuanya ini dalam hati dan pemikiran Franki Latit.

Franki Latit, saya sekali lagi memohon maaf bahawa cerpen DB gagal. Namun anda memiliki daya tahan yang boleh menulis karya lain yang lebih bertenaga. Saya dapat melihat usaha dan bayangan wajah anda, yang anda pada suatu hari nanti pasti melahirkan karya-karya kuat di Sarawak. TERIMA KASIH!

Sunday, October 18, 2009

Petikan Bab 1 Spektrum Waktu

Jangan kurangkan masa mengikut kehendak,
kerana membuang masa suatu kebencian kepada roh.
(Ptahhotep; 2650-2600sm)

Bab 1

Kalau benar teori ruang masa wujud sebagai manifold Lorentz melengkung, akankah hidup semakin mengujakan? Seperti mana ia mampu menghairahkan ilmuwan sains yang yakin bahawa ruang masa terdiri daripada empat dimensi. Dimensi yang dilingkungi dengan kehadiran jisim, tenaga dan momentum.
Apatah lagi, perkembangan dalam bidang sains saling berhubung dengan kehidupan. Sains yang amat yakin bahawa tidak ada kesangsian dalam fizik. Antara yang jelas, ini telah mencetuskan teori yang menekankan bahawa ruang masa mampu dilenturkan. Atau dalam dimensi lain, masa mampu dilengkungkan. Ini berdasarkan kewujudan teori ruang masa seperti yang telah diketengahkan oleh Einstien. Einstien yang menerangkan bahawa masa terbentuk kepada dua dimensi. Dimensi itu adalah temporal dan spatial.
Diandaikan, mengikut teori itu, waktu pun turut boleh diubah oleh gerakan kelajuan-tinggi. Lalu kehidupan yang bergantung kepada waktu pasti mudah direncanakan. Selain boleh diubah mengikut kehendak individu itu sendiri.
Benar. Memang benar waktu adalah hidup. Manakala hidup itu pula adalah menjalani waktu. Jadi, harga sebuah kehidupan itu akan bergantung kepada diri-sendiri. Atau sejauh mana individu itu menghargai waktu. Selain keberkesanan dalam penggunaan waktu itu sendiri. Lebih-lebih lagi sehingga kini, sedetik waktu terlewat, ia tidak akan pernah kembali.
Yakni, sehingga kini, pembuktian tentang teori lenturan ruang masa masih kekal samar. Masa masih juga wujud dengan garisan linear sejak dari pembentukan danau cakerawala kira-kira 13.7 billion tahun dahulu. Danau cakerawala yang telah terbentuk melalui gabungan empat jirim asas. Antaranya adalah graviti, elektromagnet, atom kuat serta atom lemah. Itu antara kepercayaan ahli sains.
Inilah yang menjadikan harga sesuatu masa adalah lebih berharga dari emas. Lalu kehidupan itu sendiri pasti tidak mampu ternilaikan parameternya. Makanya, diandaikan yang setiap insan tidak mungkin akan dapat mengubah masa lalu dan masa hadapan. Selain turut tidak akan berpeluang untuk mengubah sesuatu yang tidak dapat dihindari. Masing-masing hanya boleh berpegang pada tali yang dimiliki. Tali yang tegak itu hanyalah tingkah laku yang benar. Begitu pula perjuangan Charles R Swindoll, seorang penulis Amerika Syarikat tentang kaedah penggunaan masa.
Itulah antara isu panas yang sering aku perdebatkan. Perdebatan yang kerap terjadi di merata tempat atau ruang masa. Ini sering terjadi sewaktu aku berkesempatan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Semua ini berlaku tanpa diundang. Apatah lagi ia sering terjadi sewaktu kami bergotong-royong membersihkan asrama sekolah. Kekadang juga sewaktu kami sedang menikmati makan tengah hari di dewan sekolah.
Perdebatan sebegitu mungkin juga terjadi sewaktu kami menikmati suasana petang. Suasana petang sewaktu balik dari bermain bola. Namun, itu hanya tekaanku. Aku kira aku kurang pasti tentangnya. Lebih-lebih lagi, ketidakpastian itu selalu mengiringi perjalanan hidupku. Mungkin juga turut menyertai perjalanan hidup insan lain. Inilah yang menyebabkan aku sendiri terhimpit. Tersepit oleh dua kelompok pengetahuan. Pengetahuan yang telah diketahui dengan sendirinya. Atau pengetahuan yang hanya akan diketahui dimana ia boleh diperolehi. Kata-kata itu juga sebenarnya bukanlah milikku. Ini hanya kata-kata yang aku pinjam dari George Bernard Shaw, salah seorang pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sastera. Kata-kata itu sering aku pinjam dan terus pinjam. Pinjaman yang dibenarkan di dunia yang turut dipinjam.
Nah! Mungkinkah itu yang termampu aku fikirkan? Atau begitukah sebenarnya wajah diriku yang sebenar? Aku sendiri kurang jelas. Kurang jelas dengan keadaan persekitaran tempat aku dibesarkan. Ini yang memungkinkan menjadi faktornya. Selain faktor-faktor oleh teman dan saudara terdekatku. Maklum, masing-masing memiliki hipotesis tersendiri tentang kehidupan. Hipotesis yang sudah lama disuapkan ke mulutku. Selain turut disumbatkan ke telingaku.
“Ah... Aku hendak muntah. Aku pening.”
Sampai suatu ketika, aku merasa muak. Loya oleh sesetengahnya hanya mampu ditelan. Tetapi sama sekali tidak dapat dihadamkan oleh minda kecilku. Jadi, bagi memudahkan keadaan, aku hanya memikirkan apa kehendak dan keinginan diriku sahaja. Bukankah ia kelihatan lebih mudah? Yakni, kehidupan itu sendiri jarang memberikan individu itu banyak pilihan.
Maka, aku andaikan sahaja, jalan terbaik yang harus aku gunakan adalah meminggirkan seketika semua masalah itu. Itu pun hanya bersifat untuk sementara. Ini semata-mata bagi mengurangkan tekanan kepada mindaku yang sering tepu. Tepu oleh pelbagai teka silang kata. Selain pelbagai teka-teki yang sering bermain-main di segenap ruang di tengkorok pejalku. Tengkorok pejalku yang hanya keras di luar. Sedangkan di dalamnya masih lembut dan mentah. Atau mungkin masih lagi kosong dan lohong seperti danau cakerawala yang infiniti. Mungkin lebih teruk lagi langsung bersifat hampagas.
Oleh keadaan yang menjengkelkan, aku memulakan langkah pengisian demi pengisian maklumat ke dalam kantung mindaku. Ini atas wicara yang sering menjentik cuping telingaku. Wicara itu sering meniti bibir salah seorang temanku, Ado.
“Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.”
Ado ialah salah seorang dari teman baik kami. Teman baik kami yang sering menjadi sumber rujukan sewaktu zaman kanak-kanak. Zaman kanak-kanak yang sering diisi dengan pelbagai ragam kisahnya. Kisah hidup yang mungkin tidak akan pernah sama dengan yang lain. Atau tidak akan mungkin sama dengan cerita Peter Pan yang sering diceritakan oleh temanku itu. Cerita Peter Pan yang sering kali menghimpunkan teman seperjuanganku. Menghimpunkan kami sehingga ada yang meleleh air liur seperti anjing yang terlihat tulang. Lebih-lebih lagi, temanku itu begitu bijak memanipulasikan gayanya.
“Begitulah cerita Peter Pan. Cerita Peter Pan yang terus ingin menjadi kanak-kanak sampai bila-bila.”
Ado kemudian mengakhiri ceritanya. Matanya kelihatan galak memerhatikan wajah-wajah di depannya. Wajah-wajah yang kelihatan masih belum puas dengan kesudahan cerita itu. Malah mungkin masih berharap akan sambungan ceritanya lagi.
“Boleh aku katakan bahawa Peter Pan itu sebenarnya ialah watak aku. Peter Pan sebenar yang wujud di kalangan kamu semua. Peter Pan yang sering mewarnai kehidupan kamu semua.”
Kali ini jelas, Ado seperti cuba menyerlahkan keupayaan dirinya. Diri Ado yang sepertinya begitu menjiwai watak Peter Pan. Watak Peter Pan seperti yang sering diceritakannya kepada kami.
“Kamu semua kurang yakin?”
Kami hanya membatukan diri.
“Nanti jika ada ruang masa aku akan terangkan dengan lebih lanjut.” Tambah Ado lagi.
“Memang sah Ado ialah Peter Pan dalam ceritanya.”
Kami hampir sebulat suara memutuskannya. Ini atas keyakinan kami bahawa Ado ialah antara watak Peter Pan yang pernah wujud di dunia. Selain daripada kegilaan seorang penyanyi terkenal yang mengabdikan nama Neverland menjadi nama kediamannya. Penyanyi tersebut yang pernah kami kenali melalui televisyen ternyata amat menyayangi kanak-kanak. Atau juga keghairahan sebuah kumpulan penyanyi luar yang menggunakan nama Peter Pan sebagai nama kumpulan mereka. Tetapi tidak pula kami melihat kaitannya dengan lagu yang masing-masing ketengahkan.
“Begitulah manusia. Penuh dengan impian dan ragam masing-masing.” Kataku kepada diri sendiri.
Namun, dalam kesangsian itu, aku tetap yakin, Ado lebih daripada itu. Maklum, Ado yang aku kenali terlalu misteri perwatakannya. Antaranya yang boleh aku katakan, sikapnya turut menyamai kanak-kanak. Yakni, menyamai watak Peter Pan itu. Watak Peter Pan yang takut untuk meredahi alam kedewasaan. Ruang masa yang menjanjikan perjalanan yang penuh ranjau dan duri.
“Ingat teman-temanku sekalian, tidak ada waktu yang lebih baik selain sekarang untuk memulakan hidup yang baik. Kehidupan yang di belakang tidak harus diulang episodnya. Sebaliknya, kita harus memulakan langkah baru meskipun hanya dengan satu langkah sahaja. Apa yang penting harus memulakannya dan jangan ditunda untuk keesokannya.”
Sebelum kami bersurai, seperti kebiasaan Ado akan menitipkan pesanannya. Pesanan yang sehingga kini, masih segar di kotak ingatanku. Pepatah azimat yang harus dimiliki setiap insan, begitu yang sering Ado babarkan.
Tetapi, hingga ke saat ini, aku masih kurang jelas dengan kata-kata itu. Walhal kata-kata itu acapkali berpelesitan cuba menerobosi tengkorak pejalku. Selain terlonta-lonta cuba menyamai oktah denyutan nadiku. Oktah yang akan membentuk irama dan dimensi dalam waktu hidupku. Irama kehidupan yang sering berubah-rubah.
“Bilakah ‘sekarang’ dan ‘esok’ yang dimaksudkan itu?”
Aku masih kurang pasti! Apatah lagi Ado tidak pernah menerangkannya kepada kami.
Begitu juga, pernah aku bertanya tentang perkara yang sama kepada ayahku. Tetapi ayahku hanya tersenyum memandangku. Selain sepotong bicara yang menambahkan spektrum pelangi di pundakku.
“Tengoklah kembali perjalananmu saat ini, akan menuju kemana? Apakah ke arah yang lebih baik, atau ke arah yang lebih buruk, atau tetap saja seperti saat ini?”
Aku hanya mampu terhenyek di tempat dudukku. Kaku sebab terhimpit oleh dua keadaan yang betul-betul merampas keghairahanku. Ini atas keinginanku untuk memahami sejauh manakah masa itu begitu penting untuk setiap orang. Keghairahan itu yang menjadi elemen pokok yang meringankan upaya dan megubah kegiatan-kegiatan yang biasa pada asasnya menjadi suatu kebiasaan yang dapat dinikmati.
“Dom, bersabarlah. Suatu masa itu pasti akan datang. Biarlah waktu itu sendiri menentukannya. Buat masa ini, biarlah kita pasrah dengan gelombangnya.” Bisikan tersebut yang menjentik cuping telingaku sedikit meremangkan bulu romaku.
Ibuku kelihatan sudah duduk betul-betul di sebelahku. Tanpa disedari olehku. Mungkin ibu lebih memahami situasiku waktu itu. Keadaan seorang anak yang hampir sejam duduk menatap batasan waktu yang tidak terhingga. Atau mungkin sedang berusaha mencari erti hidup dan kematangan diri.
“Lagi Dom. Apa yang bakal kita dapat dari kehidupan kita adalah bergantung dari apa yang kita masukkan ke situ.” Tambah ibuku lagi. Kali ini nadanya betul-betul meruntun-runtun tangkai hatiku. Mendayu-dayu menyamai tingkah irama di dadaku.
Walhal, aku sering mendengar kata-kata yang sama dari mulut ayahku. Atau dari mulut Ado. Tetapi pemiliknya yang sebenar aku masih kurang pasti. Sama juga seperti kehidupan, sukar ditentukan ketentuan itu dimiliki oleh sesiapa. Makanya, masing-masing harus berusaha untuk menemukannya. Menemukan jalan yang benar untuk mendapatkannya. Tidak kira sama ada jalan itu melengkung atau lurus sekalipun.
Atau .....
“Ah.. Alangkah indahnya jika hidup itu adalah mimpi. Mimpi-mimpi indah yang boleh direka-reka!”

Wednesday, September 23, 2009



Hari ini, saya memulakan langkah baru untuk menulis novel yang ketiga. novel ini saya sasarkan untuk menyertai pertandingan menulis novel anjuran DBPKL yang akan ditutup penyertaan pada bulan Disember. Semoga saya mampu menyiapkannya dengan sebaik yang mungkin. selain sejujur yang mungkin dengan diri saya.

Saturday, August 22, 2009

Lenturan Detik - Dihasilkan untuk menyertai Pertandingan Menulis Novel Sains Dan Teknologi




Hari ini saya semakin tercabar. tercabar oleh diri sendiri yang ingin menyiapkan novel kedua saya. mujurlah beberapa rintangan yang ditempuhi, akhirnya mengalah satu persatu. lalu memaksa saya untuk terus berusaha menyiapkan novel sains fiksyen saya yang pertama. tetapi, sebaik sahaja saya berjaya melakukannya, saya sempat bertanya kepada diri. "Adakah novel saya ini mampu menyerlahkan apa yang ingin saya sampaikan?" Saya sendiri kurang pasti. Kurang pasti kerana saya terasa masih terlalu mentah dalam bidang sastera. namun apa yang termampu saya katakan. keinginan untuk terus menulis mengatasi segala rasa yang terpendam itu. semoga usaha saya ini bukan hanya pada kuantiti. tetapi terus menampilkan kualiti di batas pemikian saya sendiri. tetapi sesungguhnya, novel ini bukanlah luahan hati semata-mata. sebaliknya hanya untuk memenuhi kehendak untuk berkarya. Maklum, saya juga kurang senang dengan ceritanya.Cerita yang hanya sebuah cerita. lalu saya turun sedikit sinopsisnya.

Sinopsis:
Tiada manusia yang lepas dari kematian. Walaupun satu tahap teknologi mengatasi segalanya. Tetapi kematian tetap akan menjelma. Dari dimensi sains, kematian hanya peralihan manusia ke dimensi lain. dimensi yang menidakhadirkan Syurga dan Neraka. Sebaliknya, manusia bijak tercetus untuk mengejar mimpi. mimpi yang mewujudkan sebuah dunia yang hanya membenarkan makhluk bijak sahaja mendiaminya selepas mati. bagaimanakah dimensi dunia kematian tersebut? Itulah perkembangan plot dalam novel LENTURAN DETIK ini. Lenturan Detik yang memendekkan setiap perjalanan jangka masa. Satu ketika manusia hanya memikirkan untuk mati. Mati demi menikmati keindahan dunia tersebut. Dunia hanya untuk makhluk yang tinggi tahap intelegensnya!!! Jadi usahlah bermimpi lagi, kerana mimpi tidak akan membawa ke mana-mana. Malah jauh untuk merasai dunia dimensi ke-4 itu, Dunia Infiniti... Tetapi kebenarannya tetap susah diatasi. manusia sebegini juga, tetap tidak lari dari kenyataan. kenyataan untuk menimbulkan satu konspirasi yang sukar digambarkan. Konspirasi kelas tertinggi dalam tamadun kewujudan Dunia Infiniti...Konspirasi yang ingin menyeludup nama-nama besar di planet Bumi dari pelbagai zaman. Apakah kesudahan kepada dunia tersebut? Mampukah ia bertahan sepertimana planet Bumi yang pernah dilanda cetusan gelombang konspirasi itu? Jawapannya hanya ada dalam Novel Lenturan Detik? Lenturan Detik yang akan mengetemukan semula apakah itu KEMANUSIAAN yang sebenar.