“Berundur!!! Berundur!!!!”
Pekikan dan teriakan itu seperti hilang dihembus pawana. Cuma tangisan dan erangan yang sayup-sayup menjentik cuping telinga Layang. Walhal, keadaan di sekeliling sudah menjadi semakin berantakan. Ini jelas melalui reaksi kaum ibu dan anak-anak yang pada awalnya tenang dan kemudian mula bertempiaran oleh ada beberapa buah rumah yang mula terbakar. Asap kelihatan berkepul-kepul menjulang ke udara. Julangan asap pekat yang menandakan permulaan kepada jalan kemenangan untuk pihak lain. Tetapi ia membawa pengertian yang berbeza untuk mereka setelah berusaha dari subuh hingga ke senja tanpa disedari.
Di sebelah-menyebelah desingan peluru yang bersimpang-siur seperti hujan renyai cuba membasahi dedaun tubuh manusia. Bagi yang tidak sempat berlindung, ia memaksa keringat masing-masing bertaburan seperti dedaun kering disapu pawana di musim kemarau. Semuanya melayang-layang sebelum tersembam menyembah bumi bertuah yang pernah dibangunkan dahulu dengan tulang empat kerat.
“Layang!!! Layang!!! Ingat pesanan aku!! Kita sudah kesuntukan masa!!” Teriak Tuai mereka memecah ngauman meriam Bujang Sadok yang terus-menerus gah mencumbui suasana. Sesekali muntahannya hinggap di batang pokok buah-buahan di belakang dan depan rumah. Tanpa rasa simpati, ia kelihatan sudah mencantas dan merebahkan pepohon renek yang menjadi kawasan teduhan babi dan ayam peliharaan.
“Tapi Tuai….” Sempat Layang menoleh ke arah susuk tubuh yang kedengaran mengarahkannya. Susuk badan empunya suara yang dipenuhi ukiran yang sesekali dipanah mentari senja langsung tidak dapat menyembunyikan keperkasaan dan kesasaannya. Sebelum Layang beralih memerhatikan musuh yang semakin mendesak cuba menyelinap masuk ke kota mereka. Pertaruhannya kini hanya pada parang ilang dan terabai yang masih digenggam dengan erat. Hanya itulah jamuan yang hendak disajikan untuk menyambut kehadiran tetamu mereka hari itu. Ini membuatkan Layang mengejapkan lagi genggaman. Sekukuh yang mungkin seperti semangatnya yang tidak akan luntur untuk terus mempertahankan penempatan yang sedang diambang kemusnahan.
“Ingat Layang, untuk mendapat sesuatu yang besar, kita patut banyak berkorban
perkara-perkara yang kecil. Jadikanlah hidup ini dengan keputusan diri sendiri kerana kebenaran itu ibarat air yang mengalir, sekalipun disekat ia tetap juga akan terus mengalir.”
Mengingatkan kembali kata-kata itu, akhirnya Layang mengalah juga walaupun kakinya terasa berat untuk mengorak langkah. Walhal, di belakang, kudrat Layang masih amat diperlukan untuk saat-saat seperti itu. Saat penempatan yang telah lama diduduki menerima terjahan bebola dan hujan besi yang tidak putus-putus tanpa diundang. Hampir separuh daripada dinding kota yang dibina dari kayu belian sudah menyembah bumi. Ini diporak-porandakan lagi dengan gelimpangan tubuh kaum kerabatnya dan juga kaum kerabat musuh yang berjaya menyelinap yang sudah kaku.
Lebih memeritkankan lagi hati Layang, darah hanyir yang menyapa rongga hidungnya sama sahaja baunya. Baunya teramat Layang kenal. Ia adalah darah anak peribumi sendiri. Tetapi apa yang termampu Layang lakukan, itu adalah pilihan masing-masing. Pilihan yang menyerlahkan pertimbangan akal dan niat masing-masing.
Bertemankan langkah yang semakin longlai menuruni bukit yang curam, sesekali Layang sempat merenung dada langit yang sedikit pekat. Ini dengan sengaja seperti mengajak Layang untuk menyelongkar kembali timbunan kenangan yang dilonggokkan sepanjang hidupnya. Sesekali mendesak Layang untuk kembali berfikir tentang pepatah lama, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna yang sering didengarinya. Mujur, keputusan Layang sebelum ini tidak pernah pula akan disesali sehingga kini.
Ini amat jelas, sehingga keadaan yang berlaku tadi tidak pula terasa mampu meretakkan semangat juang Layang walaupun sedikit. Layang mungkin menyesal kerana ramai yang tidak memahami dan mengenali insan yang menjadi pujaannya itu. Selain terus menjadi pengikut setianya untuk bersama-sama menunjangkan semangat juang yang kental. Yakni sepertimana ia telah lama memekari nubari Layang. Inilah yang memaksa Layang untuk menggalas tugas yang bersimpuh di pundak sehingga ke penghujung nyawa. Itu bukan janji Layang terhadap dirinya tetapi janji terhadap nusa dan bangsa.
Bahkan, sehingga ke saat itu, semuanya masih jelas tentang keadaan yang berlaku malam sebelumnya di benak Layang. Satu persatu ia bercantum membentuk bayang-bayang yang jelas di mata hati Layang. Serentak ia cuba menarik jasad Layang yang berketul-ketul gumpalannya menjadi tanah. Kemudian meresap jauh sehingga menjangkau sempadan yang tidak terungkap dek akal. Hanya kepanasan yang meruap-ruap menyapa tubuhnya.
“Sesiapa yang merasakan diri sebagai keturunan pengecut bolehlah mengundurkan diri. Biarkan Apai Saloi dengan kebodohannya. Sekalipun ayam sabung menang tanah tetapkan tergadai.” Sempat Layang menjeling ke arah empunya suara. Walaupun ucapannya ringkas tetapi ia cukup untuk membentuk gelombang benak di dada Layang. Menggelegak darah Layang kerana cuba menelan setiap bait-bait kebenaran itu yang dirasakan meronta-ronta cuba menerobosi setiap inci dan sudut ruang tengkorak pejalnya. Namun itulah hakikat, kebenaran itu adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan.
Tambah memeritkan, Layang mula membayangkan, betapa di masa akan datang kaum kerabatnya akan merempat seada-adanya. Dengan hormat juga akan terhambat seperti anjing liar di bumi sendiri. Kemudian akan dihalau pula seperti anjing kurap yang hanya pandai menagih simpati. Sedangkan di sudut lain, ia bukan bumi asing tetapi sengaja melabelkan orang asing sebagai tuan di bumi sendiri.
“Baik engkau ikut jejak aku.”
Antara karya terbaru yang terkial-kial aku siapkan. huhu... aku tepu idea di tengkorak pejalku atau sememangnya tengkorakku sudah hampagas.
Tuesday, June 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment