Thursday, August 13, 2009

Pernah Suatu Waktu



Suatu waktu, pernah
Letusan Supernova membayangi
mimpi-mimpi terpecah
terkepung spektrum pelangi.

Dalam lena, kaku dirku
terapung dek lengkungan waktu,
sesat di geometri baru
aku diketemu,
secebis roh perjuangan padu
perwatakan purba peradabannya jitu.

Nadanya marah atau berseloka,
“Usahlah direntap semangat nusa
berpaksikan wajah dan jiwa
frekuensi egosentrik panah masa
atas sempadan yang ditiada.”

Kuterjaga dari kekau payah,
refleksi resah Gendang Rayah
irama perang pastikan pernah
bertalu menyelusuri lenturan waktu
berasimilasi akankah menjadi satu?

Desis kecil hatiku,
Rentapkah pejuang itu?
Atau cuma oktaf irama
merentap rasa keluh-kesah
tergencet di ruang dada
menanti retak yang terbelah.

Mujurkah aku hanya bermimpi atau terlena seketika?

Frankie Latit
13 Ogos 2009, Kuching.

2 comments:

Penabahari said...

Wah Frankie,
Puisinya semakin menjadi. Tulis terus dan jadilah penulis puisi yg prolifik. Saya semakin menggemari tulisan sdr.

TUNTUNG LANG said...

terima kasih Abg Pharo. Saya akan ambil kata-kata itu sebagai pendorong. tq