Thursday, August 6, 2009

Ceritera Politik Lubang Tikus



Episod Satu

Menurut satu sumber tabloid yang dipaparkan pada skrin sebuah komputer riba yang sistemnya telah diserang oleh virus, pada ketika ini, sebuah planet dinyatakan sedang mengalami transformasi (atau hanya mengalami dekadensi). Planet yang dinyatakan itu mungkin hanya wujud sebagai sebuah planet metafora. Planet metafora yang lebih dikenali sebagai planet Lubang Tikus.
Metamorforsis planet itu meliputi segala segi. Ini terjadi akibat daripada orbit planet Lubang Tikus yang mula tertukar arah. Tertukar arah kerana terpaksa merentasi orbit zaman edan arus perdana. Zaman edan arus perdana yang merupakan suasana selepas keadaan pergolakan dunia politik di planet itu. Ini berpunca daripada keadaan pemilihan pucuk pimpinan planet itu. Pucuk pimpinan yang cuba diambil alih tampuk pimpinannya oleh manusia yang memiliki tahap Inteligens Quotation (IQ) yang melebihi angka 120. Atau mungkin hanya manusia yang memiliki tahap IQ di bawah angka 60. Kurang pasti. Maklum, ada di antara masing-masing yang langsung tidak teringin untuk menjalani ujian tersebut. Tidak kurang pula di kalangan masing-masing itu menjadikan kekangan waktu dan keadaan sebagai alasan. Malah ada juga yang tidak segan-silu menyatakan keyakinan bahawa perwatakan masing-masing sememangnya sudah melebihi gaya pendeta dari dalam dan gaya pemimpin dari luar.
Namun, perkara tersebut bukanlah isu yang sebenar yang menjadi buah mulut penduduk planet Lubang Tikus. Sebaliknya masing-masing lebih tertumpu kepada agenda sebenar yang ingin diwujudkan (atau hanya sekadar propaganda). Agenda ini meliputi sebuah dasar yang terang-terangan menyatakan bahawa masing-masing kini mengajak masyarakat mengapai tahap manusia unggul iaitu Ubermensch. Konsep Ubermensch yang dikemukan oleh Friedrich Nietzsche yang mengatakan bahawa nilai baik dan buruk perlu bergantung kepada individu yang bebas. Bebas seperti burung yang mengisi danau cakerawala di planet Lubang Tikus. Lantas mewujudkan ruang bagi mengapungkan nilai tradisi, adat atau agama ke danau galaksi. Sebelum tersirna oleh lohong hitam yang sememangnya gelojoh.
Dalam pada itu, ada juga di antara masing-masing itu yang menganggap diri ialah orang yang berilmu. Walhal, masing-masing sering tidak bercakap daripada premis yang menunjukkan refleksi daripada ketinggian dan kejituan ilmu. Sebaliknya sering ternoda oleh ralat. Ralat yang memungkinkan masing-masing acapkali bercakap daripada premis andaian sahaja. Premis andaian yang hanya akan memaparkan cerita lawak bodoh yang langsung tidak jenaka! Sebaliknya lebih kepada cerita yang mengetengahkan kebodohan dan kejahilan diri. Atau mungkin lebih sesuai diperkatakan sebagai berilmu tanpa ilmu. Atau mungkin agak tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa masing-masing itu sudah hilang akal. Lalu mencetuskan nihilisme yang menyerlahkan tahap IQ masing-masing. Tahap IQ yang boleh dikatakan lebih rendah daripada tanah yang dipijak. Apa tidaknya, masing-masing dengan sengaja menjadikan watak superhero filem, Superman sebagai alat mainan mulut. Mulut yang tidak akan pernah diinsurankan. Maklum, masing-masing iri hati dengan watak Superman yang telah mencetuskan misteri kerana menggunakan ‘cawat’ sewaktu beliau bertindak membanteras kemungkaran. Tetapi dari dimensi lain, watak Superman akan menjadi insan biasa. Insan biasa yang tetap memiliki keistemewaan yang tersendiri. Lalu ini serba sedikit kelihatan mula membekukan konsep Ubermensch yang masing-masing ingin ketengahkan.
Lebih-lebih lagi, kini, masyarakat yang bijak masih akur kepada kriteria pemersatuan, kesatuan dan kesepaduan. Kriteria yang sememangnya jelas menggariskan hak kaum masing-masing. Apatah lagi masyarakat setempat sudah lama mengetahui akan nilai estetik budaya tersebut. Budaya tersebut yang menjadi penyeri kepada konsep pelbagai kaum di planet Lubang Tikus. Ini masing-masing lebih fahami melalui kenyatan Edward Said tentang nilai budaya. Tentang nilai budaya yang seharusnya dilihat sebagai konsep untuk memperhalus atau mempertinggikan pemikiran yang menjadi wadah perkembangan masyarakat dan bangsa.
Kenyataan Edward Said itu serentak turut disambut baik oleh para pemimpin yang berada di sebelah pihak yang lain. Para pemimpin yang telah lama menjadi tulang belakang planet Lubang Tikus. Yakni, para pemimpin tersebut dengan lantang menyatakan bahawa fikiran yang menentukan manusia bukan rupa. Ini meliputi akal fikiran yang tidak dipengaruhi oleh emosi. Maklum, emosi itu hanya akan menyediakan ruang untuk berkhayal tetapi bukan untuk berfikir. Lebih-lebih lagi emosi itu mewujudkan keegoan dalam diri. Keegoan yang pada dasarnya adalah aktiviti kehendak; seperti tindakan, harapan, keinginan dan bukan semata-mata aktiviti berfikir seperti yang dikemukan oleh Decartes. Ini disokong pula oleh kenyataan bahawa kuasa percakapan itu sendiri patut dijaga. Selain perlu diawasi kerana terlajak perahu boleh diundur. Sebaliknya terlajak kata teramat buruk padahnya. Apatah lagi, kuasa percakapan itu adalah teras kepada kewujudan ilmu pengetahuan yang ingin diserlahkan. Diserlahkan menggunakan akal sebagai lidah. Tetapi bukan menggunakan lidah sebagai akal.
Selain itu, pemimpin-pemimpin yang berjiwa masyarakat itu turut memperjuangkan teras yang disarankan oleh Daniel Goleman. Daniel Goleman yang mengatakan bahawa ilmu pengetahuan yang harus dimiliki adalah ilmu pengetahuan yang memicu perubahan dalam lima perspektif. Antaranya adalah tentang ciri-ciri perubahan kognitif yang meliputi inteligens pelbagai, kepekaan yang tinggi, inteligens sastera dan juga inteligens sosial serta budaya yang berkeupayaan menyelesaikan masalah pada tahap pemikiran tinggi yang meningkat. Di samping itu, Daniel Goleman turut mengetengahkan tentang ciri-ciri perubahan afektif, perubahan psikomotor, perubahan sosial dan juga perubahan kerohanian. Tujuannya hanya satu. Ini bagi mewujudkan manusia yang memiliki tahap IQ yang infiniti. Selain membentuk manusia yang tidak mementingkan diri dan menekankan sikap penerimaan. Lantas tanpa diundang, ia akan menerapkan prinsip sesuatu yang sukar dilakukan tetapi menjadi yang terbaik adalah membantu orang lain.

Episod Dua

Di sebuah presient yang dikenali sebagai Presient Penggemar Kelapa yang terletak di suatu sudut planet Lubang Tikus, isu tersebut turut membabarkan kesan yang tersendiri. Kesan tersendiri yang dirasakan amat mengencetkan setiap lohong nadi penduduk setempat. Maklum, presient itu telah lama mendukung konsep 1Presient. Konsep 1Presient yang mementingkan nilai perpaduan. Apatah lagi masing-masing tidak ingin terikat dengan sejarah hitam presient tersebut. Lebih-lebih lagi menurut sejarah hitam presient tersebut, nama presient itu wujud berdasarkan sikap penduduk setempat yang gemar memungut buah kelapa. Satu tahap, pada masa dahulu, masing-masing sanggup berbunuhan gara-gara berebut buah kelapa. Yakni, satu ketika, ramai yang tersalah anggap mengenai presient itu. Lantas mencanangkan nama yang lain pula. Nama tersebut tertukar menjadi Presient Penggemar Kepala. Ini kerana ramai penduduk luar yang pernah bertandang (atau hanya mendengar cerita) agak kurang peka. Atau mungkin juga boleh dikategorikan dalam golongan kurang bijak. Atau golongan kurang pandai dalam membezakan antara koleksi buah kelapa dan kepala manusia yang pernah dimiliki oleh penduduk setempat. Penduduk setempat yang sememangnya terkenal dengan keberanian. Keberanian yang wujud oleh dasar imperialisme.
Oleh keadaan yang tidak dijangkakan (atau sudah dijangkakan), pelbagai wicara mula terpesil dari mulut penduduk Presient Penggemar Kelapa. Antaranya, seorang penduduk yang tidak ingin namanya dikenali telah mengeluarkan kenyataannya. Kenyataan yang mengatakan bahawa perkara sebegitu hanya bertopengkan biadat. Selain turut tidak berilmu. Ilmu yang merujuk kepada ilmu yang bererti dan benar. Yakni, ilmu yang mementingkan nilai estetika dan pengalaman intelektual. Ini kerana hanya ilmu sebegitu yang mampu melahirkan kekuatan yang membina tamadun.
Bagi seorang penduduk yang berasal dari kawasan itu yang gah dengan gelaran nama Rentap, beliau membentangkan kenyataan yang sedikit berbeza. Kenyataan tersebut berupa suatu peringatan tentang betapa sejarah hitam Presient Penggemar Kelapa tidak harus diulang episodnya. Maklum, bagi Rentap, sejarah hanyalah gambaran akal primitif manusia zamannya. Dan untuk zaman sekarang, sejarah itu tidak seharusnya dirungkai. Andai dicanangkan, sejarah itu tidak akan lagi menjadi penawar kepada minda yang sakit. Sebaliknya akan menimbulkan kesakitan yang akan mencetuskan kesakitan yang berpanjangan.
Maklum, Rentap yang inginkan namanya dikenali itu ialah salah seorang anak jati Presient Penggemar Kelapa yang begitu konservatif dalam mengagungkan budaya penggunaan ‘cawat’. Budaya penggunaan ‘cawat’ yang hanya akan muncul untuk sesuatu upacara tertentu sahaja. Lalu selepas itu, ia akan tersimpan di dalam almari sahaja. Tetapi, sejak budaya penggunaan ‘cawat’ yang telah diangkatkan dalam filem Superman, Rentap terasa begitu lega. Lega kerana bagi Rentap, budaya itu sedikit sebanyak telah menyerlahkan lambang jati diri kaum kerabatnya. Selain menimbulkan kekaguman penduduk setempat tentang nilai estetiknya. Nilai estetik ‘cawat’ yang merangkumi keperkasaan jati diri kaum kerabat pemiliknya. Dalam erti kata lain, ‘cawat’ turut menjadi lambang keutuhan pelbagai kaum di planet Lubang Tikus.
Maklum, Rentap seolah-olah masih dapat merasakan sumbangan kaum kerabatnya kepada planet Lubang Tikus. Sumbangan kaum kerabat Rentap yang suatu masa dahulu begitu gah menggunakan ‘cawat’ sebagai sumber kekuatan masing-masing. Sumber kekuatan yang dirasakan begitu luar biasa. Luar biasa kerana mampu membantu membebaskan planet itu. Ini bertitik-tolak daripada sikap para pejuang tersebut yang telah bersepakat bagi memberikan hak yang tertentu kepada setiap kaum di planet Lubang Tikus. Suatu ketika, perkara itu terus disematkan kukuh dalam kamus sejarah pembentukan dan Perlembagaan planet Lubang Tikus. Lalu diandaikan sehingga ke hari itu, keistemewaan tersebut tidak pernah diungkitkan. Bahkan juga turut terus terjaga rapi oleh setiap penduduk yang bijak di planet tersebut.
Namun, pada suatu masa yang tidak diduga, jangkaan masing-masing jelas melesit. Perkara tersebut kelihatan kembali dipertikaikan. Ini mungkin diakibatkan oleh perubahan orbit yang menekan kedudukan planet itu. Lantas ia telah memaksa Rentap untuk kembali mengingatkan diri tentang perkara tersebut. Walaupun kemungkinan suatu ketika nanti Rentap terpaksa berhadapan dengan rintangan yang sukar untuk difikirkan. Tetapi, Rentap akan tetap menerima seada-adanya. Ini kerana Rentap tidak ingin terus tersepit. Selain terhimpit oleh perubahan darjah kepanasan darah pahlawan yang diwarisi. Darah pahlawan yang tidak menbenarkan sama sekali sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pendatang asing yang sepertinya cuba menginjak-injak jati diri penduduk setempat. Inikan pula, kali ini, kenyataan tersebut telah diluahkan oleh kaum kerabatnya sendiri.
Kebuncahan yang dialami oleh Rentap turut ditambah oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu Rentap sendiri. Maklum, menurut ibu Rentap, nama Rentap yang sengaja diberikan kepada anaknya itu adalah bertujuan untuk mengabadikan semangat pahlawan di mata hati semua pihak. Semangat pejuang sebenar yang sering meniti bibir dan mengisi lipatan kamus sejarah planet Lubang Tikus.
Bahkan, menurut ibu Rentap lagi, Rentap kelahiran baru memiliki perwatakan yang sedikit berbeza dengan Rentap yang asli. Ini meliputi kekuatan dan keberanian masing-masing. Antara sebab yang sempat dikemukan oleh ibu Rentap adalah tentang pengaruh keadaan dan situasi kehidupan masing-masing yang jauh berbeza. Apatah lagi Rentap kelahiran baru hanya meletakkan kekuatan kepada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang merupakan kuasa yang telah dianugerahkan oleh Pencipta. Kuasa yang bukan bersifat fitnah semata-mata.
Kendatipun, Rentap kelahiran baru tetap memiliki darah seorang pejuang. Darah pejuang yang tidak akan pernah berhenti mengalir dalam selirat lorong darahnya. Walaupun acapkali Rentap pernah menerima darah yang baru daripada hospital, tetapi darah pahlawan itu tetap juga akan membuak. Membuak jika sekiranya tekanan yang berterusan cuba dicetuskan. Suatu tahap, tekanan itu pasti akan menghadirkan perjuangan yang lebih dahsyat dari perjuangan Rentap yang sebenar suatu ketika dahulu.

Episod Tiga

Malam yang mengensot-ensot tanpa jemu dirasakan semakin menekan. Rentap yang duduk menghadap dinding sempat menjeling ke arah sebuah cermin di suatu sudut. Lalu tanpa diduga (atau oleh roh Raja Rentap yang mungkin merasuk), Rentap merasakan yang jasadnya seperti tersedut ke dalam pusaran lubuk introspeksi. Lantas seperti memaksa Rentap untuk terus-menerus menyelam bagi menemui dasarnya. Tetapi semakin dalam Rentap menyelam, semakin Rentap berasa hampa. Hampa kerana dasar yang ingin diselam olehnya itu terasakan tiada titik sempadan. Apatah lagi Rentap mula merasakan yang dirinya semakin tergencet. Terhimpit oleh tekanan air yang semakin meningkat. Selain turut menyakitkan gegendang telinganya. Satu tahap, Rentap seolah-olah merasakan bahawa gegendang telinganya mula mengalami keretakan. Tetapi aneh, Rentap tetap mampu mendengar bisikan dari dasar lubuk itu yang berpelesit menerobosi tengkorak pejalnya.
Antara yang jelas di deria pendengaran Rentap adalah dalam politik, orang selalu menekankan kuasa sama ada secara diktator, secara autokrasi, oligarki dan sewaktu dengannya. Ini agak tidak berpadanan dengan kata hikmah yang menyatakan orang bodoh menyukai perbuatan salah. Sedangkan bagi orang bijak, masing-masing hanya menyukai hikmat. Maka, Rentap mengandaikan bahawa hanya orang yang tidak bertamadun sahaja yang akan menjadikan politik sebagai hobi. Hobi yang akan menyebabkan kewujudan salah satu pemerintahan yang diperkatakan oleh Bentham. Kewujudan pemerintahan yang mencetuskan kesakitan tetapi bukan memberikan kenikmatan. Lalu ia membuatkan Rentap begitu percaya akan pepatah yang diketengahkan oleh pujangga iaitu si bodoh itu harus dijadikan makanan si cerdik!
Akhirnya, Rentap tersenyum. Tersenyum oleh hati yang mula tenang untuk suatu waktu. Ini kerana bagi Rentap, jika ingin pergi lebih lanjut dan lanjut lagi, haruslah melantun kembali. Apatah lagi di hamparan cermin itu Rentap tidak lagi melihat wajahnya. Atau melihat wajah manusia yang menjadi haiwan politik. Sebaliknya Rentap hanya melihat wajah orang lain yang tidak ingin dikenalinya. Maklum, wajah tersebut ialah wajah seseorang yang hidup dalam kepura-puraan. Yakni, wajah kepura-puraan manusia itu yang sengaja disembunyikan dengan topeng yang menyerupai ‘cawat’. Maklum, manusia itu bermungkinan sudah hilang keyakinan untuk menandingi watak Superman.
Lalu jauh di dasar lubuk hati Rentap, termendak pertanyaan tentang suatu perkara. Perkara yang membolehkan Rentap untuk membezakan antara manusia yang berakal dan yang sebaliknya. Yakni, cermin yang cantik tersebut (pada tanggapan orang lain sahaja) kelihatan mula mengalami keretakan. Keretakan yang mengakibatkan serpihan cermin itu bertaburan di atas lantai. Serentak tanpa dipaksa-paksa Rentap segera mendianogsis puncanya. Punca yang sama sekali turut memungkinkan Rentap untuk memecahkan kod Navajo. Kod Navajo yang membolehkan tentera marin sentiasa memenangi peperangan di pasifik.

Episod Empat
Akhirnya, komputer riba itu terpadam dengan sendirinya. Terpadam oleh virus yang mengganas di dalam sistemnya. Sistem yang sudah muncah oleh program-program yang tidak diinginkan.

No comments: