Thursday, October 29, 2009

Ulasan Deru Benak - dicedok dari blog Jaya Ramba


Salam SatuMalaysia. Biasanya insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni. Seniman adalah petani seni yang berfikir, di samping cepat tersentuh oleh sesuatu angin peristiwa atau ribut pengalaman. Ini hujah Sasterawan Negara kita A. Samad Said suatu ketika dahulu.

Sekali lagi saya ingatkan yang karya cerpen berbeza dengan sebuah novel. Cerpen sebuah karya yang padat dengan bahasa dan aksi hebat. Maka, seharusnya hanya pekara penting sahaja yang menjadi pertarungan seorang penulis. Apakah Frankie Latit menggunakan kesempatan itu.

Franki Latit pernah mengisi ruangan WBS tetapi setelah pihak penilai mengangkat beliau, bahawa beliau seharusnya mengisi ruangan YIIB, Dewan Sastera dan dada media yang lebih tinggi tahapnya. Kemunculan DB pada ruangan YII pada Isnin - 26 Oktober 2009, bukan seperti yang saya jangkakan. DB muncul dari sudut kreatif tetapi tinggi nilainya dari sudut sejarah. Franki Latit masih silah mengatur DB menjadi karya yang tersusun. Pada pandangan saya, DB hilang permulaan, kemuncak dan pengakhiran. DB memang judul yang indah dan kuat tetapi kepadatan yang saya maksud hilang sama sekali. Antara contohnya suasana yang membazir ialah dialog:
“Balik? Abang banyak kerjalah saying. Bersepah kerja di pejabat.”
“Em…”
“Yalah. Ingat tak jadi. Abang tu macam mana?”
“Tak siap lagi.”

Dialog ini hilang makna. Ia sekadar dialog biasa yang tidak penting. Saya menganggap dialog ini membazir ruang sahaja. Seharusnya Frankie mengisi ruangan ini dengan satu ledakan kerisau watak atau masalah besar hubungan kekeluargaan yang berkaitan Sri Aman atau dengan benak.

Saya masih memikirkan apakah masalah cerpen ini sehingga menimbulkan DB berkembang sehingga kaitannya dengan judul sesuai. Saya hanya memikirkan tentang Jabau yang ingin membeli rumah kos rendah sedangkan dia pegawai kerajaan. Endun juga seorang pegawai yang berjaya. DB di mana logic permasalahannya.

Masalah kedua yang saya dapat fahami ialah bila Endun sering menyoal Jabau bila mahu balik ke kampung. Kampung mana yang Franki Latit nyatakan? Masalah ketiga yang timbul ialah bila Endun memanggil Jabau sayang dan kemudian Abang. Oleh kerana itulah saya katakana cerpen ini sedikit membazir.

Keempat, perkara yang antaranya tidak logic yang harus diselitkan ialah pengamatan Endun terhadap Jabau. Baru sekarang Endun menilai Jabau lelaki yang berkelebihan sedangkan mereka sudah hidup bertahun-tahun. Lihat petikan ini:

…Endun terpaku memandang sekujur tubuh yang disaluti kulit sawo matang, yang terpacak di depan mata. Agak teserlah juga ketampanan insan tersebut melalui penampilan dan gayanya. Ketinggiannya juga agak padan. Bagi…

Seandainya Endun baharu mengenali Jabau, mungkin penerang rangkap ini sesuai. Saya merasakan Franki Latit masih cetek untuk menyenaraikan aksi yang teratur. Sayang sekali, bahasa yang digunakan agak bertenaga. Cuma susunan cerita masih terlalu terbatas dan terhad tanpa merujuk kepada kategori kepadatan.

Apa yang menarik pada cerpen DERU BENAK ialah catatan sejarah yang benar. Saya kagum kerana penyelidikan sejarah sehingga kaitan dengan benak cukup menarik. Imbas kembali watak tentang sejarah Sri Aman membawa kepada DB menarik. Namun hilang aksi permulaan, kemuncak dan pengakhiran cerita.

Kesimpulan
Saya memang mengetahui Frankie Latit seorang penulis yang masih mentah tetapi bersungguh-sungguh menjadi seorang penulis. Bukan sahaja berstamina tetapi tidak mengenali erti serik. Seorang yang sering meminta perhatian untuk menimba ilmu. Memiliki gagasan untuk maju seperti penulis lain. Jarang saya melihat seorang penulis muda yang ingin mencuba sesuatu. Malah telah menulis beberapa buah novel walaupun pernah dinilai.

DB sebenarnya boleh diperbaiki. Diperbaiki dialognya. Diuruskan sebaik mungkin jalan ceritanya. Dipadatkan dengan aksi yang teratur. Diisi dengan sejarah yang berkait rapat dengan benak. Seharusnya diungkai sejarah benak di dasar sungai Skrang dan Sri Aman. Semuanya ini dalam hati dan pemikiran Franki Latit.

Franki Latit, saya sekali lagi memohon maaf bahawa cerpen DB gagal. Namun anda memiliki daya tahan yang boleh menulis karya lain yang lebih bertenaga. Saya dapat melihat usaha dan bayangan wajah anda, yang anda pada suatu hari nanti pasti melahirkan karya-karya kuat di Sarawak. TERIMA KASIH!

2 comments:

Penabahari said...

Tahniah sdr Frankie. Sudah ada peningkatan. Teruslah menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberi kebaikan kepada masyarakat umum.

TUNTUNG LANG said...

terima kasih abg Pharo. Moga-moga abg Pharo juga terus menulis. salam.