Sunday, October 18, 2009

Petikan Bab 1 Spektrum Waktu

Jangan kurangkan masa mengikut kehendak,
kerana membuang masa suatu kebencian kepada roh.
(Ptahhotep; 2650-2600sm)

Bab 1

Kalau benar teori ruang masa wujud sebagai manifold Lorentz melengkung, akankah hidup semakin mengujakan? Seperti mana ia mampu menghairahkan ilmuwan sains yang yakin bahawa ruang masa terdiri daripada empat dimensi. Dimensi yang dilingkungi dengan kehadiran jisim, tenaga dan momentum.
Apatah lagi, perkembangan dalam bidang sains saling berhubung dengan kehidupan. Sains yang amat yakin bahawa tidak ada kesangsian dalam fizik. Antara yang jelas, ini telah mencetuskan teori yang menekankan bahawa ruang masa mampu dilenturkan. Atau dalam dimensi lain, masa mampu dilengkungkan. Ini berdasarkan kewujudan teori ruang masa seperti yang telah diketengahkan oleh Einstien. Einstien yang menerangkan bahawa masa terbentuk kepada dua dimensi. Dimensi itu adalah temporal dan spatial.
Diandaikan, mengikut teori itu, waktu pun turut boleh diubah oleh gerakan kelajuan-tinggi. Lalu kehidupan yang bergantung kepada waktu pasti mudah direncanakan. Selain boleh diubah mengikut kehendak individu itu sendiri.
Benar. Memang benar waktu adalah hidup. Manakala hidup itu pula adalah menjalani waktu. Jadi, harga sebuah kehidupan itu akan bergantung kepada diri-sendiri. Atau sejauh mana individu itu menghargai waktu. Selain keberkesanan dalam penggunaan waktu itu sendiri. Lebih-lebih lagi sehingga kini, sedetik waktu terlewat, ia tidak akan pernah kembali.
Yakni, sehingga kini, pembuktian tentang teori lenturan ruang masa masih kekal samar. Masa masih juga wujud dengan garisan linear sejak dari pembentukan danau cakerawala kira-kira 13.7 billion tahun dahulu. Danau cakerawala yang telah terbentuk melalui gabungan empat jirim asas. Antaranya adalah graviti, elektromagnet, atom kuat serta atom lemah. Itu antara kepercayaan ahli sains.
Inilah yang menjadikan harga sesuatu masa adalah lebih berharga dari emas. Lalu kehidupan itu sendiri pasti tidak mampu ternilaikan parameternya. Makanya, diandaikan yang setiap insan tidak mungkin akan dapat mengubah masa lalu dan masa hadapan. Selain turut tidak akan berpeluang untuk mengubah sesuatu yang tidak dapat dihindari. Masing-masing hanya boleh berpegang pada tali yang dimiliki. Tali yang tegak itu hanyalah tingkah laku yang benar. Begitu pula perjuangan Charles R Swindoll, seorang penulis Amerika Syarikat tentang kaedah penggunaan masa.
Itulah antara isu panas yang sering aku perdebatkan. Perdebatan yang kerap terjadi di merata tempat atau ruang masa. Ini sering terjadi sewaktu aku berkesempatan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Semua ini berlaku tanpa diundang. Apatah lagi ia sering terjadi sewaktu kami bergotong-royong membersihkan asrama sekolah. Kekadang juga sewaktu kami sedang menikmati makan tengah hari di dewan sekolah.
Perdebatan sebegitu mungkin juga terjadi sewaktu kami menikmati suasana petang. Suasana petang sewaktu balik dari bermain bola. Namun, itu hanya tekaanku. Aku kira aku kurang pasti tentangnya. Lebih-lebih lagi, ketidakpastian itu selalu mengiringi perjalanan hidupku. Mungkin juga turut menyertai perjalanan hidup insan lain. Inilah yang menyebabkan aku sendiri terhimpit. Tersepit oleh dua kelompok pengetahuan. Pengetahuan yang telah diketahui dengan sendirinya. Atau pengetahuan yang hanya akan diketahui dimana ia boleh diperolehi. Kata-kata itu juga sebenarnya bukanlah milikku. Ini hanya kata-kata yang aku pinjam dari George Bernard Shaw, salah seorang pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sastera. Kata-kata itu sering aku pinjam dan terus pinjam. Pinjaman yang dibenarkan di dunia yang turut dipinjam.
Nah! Mungkinkah itu yang termampu aku fikirkan? Atau begitukah sebenarnya wajah diriku yang sebenar? Aku sendiri kurang jelas. Kurang jelas dengan keadaan persekitaran tempat aku dibesarkan. Ini yang memungkinkan menjadi faktornya. Selain faktor-faktor oleh teman dan saudara terdekatku. Maklum, masing-masing memiliki hipotesis tersendiri tentang kehidupan. Hipotesis yang sudah lama disuapkan ke mulutku. Selain turut disumbatkan ke telingaku.
“Ah... Aku hendak muntah. Aku pening.”
Sampai suatu ketika, aku merasa muak. Loya oleh sesetengahnya hanya mampu ditelan. Tetapi sama sekali tidak dapat dihadamkan oleh minda kecilku. Jadi, bagi memudahkan keadaan, aku hanya memikirkan apa kehendak dan keinginan diriku sahaja. Bukankah ia kelihatan lebih mudah? Yakni, kehidupan itu sendiri jarang memberikan individu itu banyak pilihan.
Maka, aku andaikan sahaja, jalan terbaik yang harus aku gunakan adalah meminggirkan seketika semua masalah itu. Itu pun hanya bersifat untuk sementara. Ini semata-mata bagi mengurangkan tekanan kepada mindaku yang sering tepu. Tepu oleh pelbagai teka silang kata. Selain pelbagai teka-teki yang sering bermain-main di segenap ruang di tengkorok pejalku. Tengkorok pejalku yang hanya keras di luar. Sedangkan di dalamnya masih lembut dan mentah. Atau mungkin masih lagi kosong dan lohong seperti danau cakerawala yang infiniti. Mungkin lebih teruk lagi langsung bersifat hampagas.
Oleh keadaan yang menjengkelkan, aku memulakan langkah pengisian demi pengisian maklumat ke dalam kantung mindaku. Ini atas wicara yang sering menjentik cuping telingaku. Wicara itu sering meniti bibir salah seorang temanku, Ado.
“Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.”
Ado ialah salah seorang dari teman baik kami. Teman baik kami yang sering menjadi sumber rujukan sewaktu zaman kanak-kanak. Zaman kanak-kanak yang sering diisi dengan pelbagai ragam kisahnya. Kisah hidup yang mungkin tidak akan pernah sama dengan yang lain. Atau tidak akan mungkin sama dengan cerita Peter Pan yang sering diceritakan oleh temanku itu. Cerita Peter Pan yang sering kali menghimpunkan teman seperjuanganku. Menghimpunkan kami sehingga ada yang meleleh air liur seperti anjing yang terlihat tulang. Lebih-lebih lagi, temanku itu begitu bijak memanipulasikan gayanya.
“Begitulah cerita Peter Pan. Cerita Peter Pan yang terus ingin menjadi kanak-kanak sampai bila-bila.”
Ado kemudian mengakhiri ceritanya. Matanya kelihatan galak memerhatikan wajah-wajah di depannya. Wajah-wajah yang kelihatan masih belum puas dengan kesudahan cerita itu. Malah mungkin masih berharap akan sambungan ceritanya lagi.
“Boleh aku katakan bahawa Peter Pan itu sebenarnya ialah watak aku. Peter Pan sebenar yang wujud di kalangan kamu semua. Peter Pan yang sering mewarnai kehidupan kamu semua.”
Kali ini jelas, Ado seperti cuba menyerlahkan keupayaan dirinya. Diri Ado yang sepertinya begitu menjiwai watak Peter Pan. Watak Peter Pan seperti yang sering diceritakannya kepada kami.
“Kamu semua kurang yakin?”
Kami hanya membatukan diri.
“Nanti jika ada ruang masa aku akan terangkan dengan lebih lanjut.” Tambah Ado lagi.
“Memang sah Ado ialah Peter Pan dalam ceritanya.”
Kami hampir sebulat suara memutuskannya. Ini atas keyakinan kami bahawa Ado ialah antara watak Peter Pan yang pernah wujud di dunia. Selain daripada kegilaan seorang penyanyi terkenal yang mengabdikan nama Neverland menjadi nama kediamannya. Penyanyi tersebut yang pernah kami kenali melalui televisyen ternyata amat menyayangi kanak-kanak. Atau juga keghairahan sebuah kumpulan penyanyi luar yang menggunakan nama Peter Pan sebagai nama kumpulan mereka. Tetapi tidak pula kami melihat kaitannya dengan lagu yang masing-masing ketengahkan.
“Begitulah manusia. Penuh dengan impian dan ragam masing-masing.” Kataku kepada diri sendiri.
Namun, dalam kesangsian itu, aku tetap yakin, Ado lebih daripada itu. Maklum, Ado yang aku kenali terlalu misteri perwatakannya. Antaranya yang boleh aku katakan, sikapnya turut menyamai kanak-kanak. Yakni, menyamai watak Peter Pan itu. Watak Peter Pan yang takut untuk meredahi alam kedewasaan. Ruang masa yang menjanjikan perjalanan yang penuh ranjau dan duri.
“Ingat teman-temanku sekalian, tidak ada waktu yang lebih baik selain sekarang untuk memulakan hidup yang baik. Kehidupan yang di belakang tidak harus diulang episodnya. Sebaliknya, kita harus memulakan langkah baru meskipun hanya dengan satu langkah sahaja. Apa yang penting harus memulakannya dan jangan ditunda untuk keesokannya.”
Sebelum kami bersurai, seperti kebiasaan Ado akan menitipkan pesanannya. Pesanan yang sehingga kini, masih segar di kotak ingatanku. Pepatah azimat yang harus dimiliki setiap insan, begitu yang sering Ado babarkan.
Tetapi, hingga ke saat ini, aku masih kurang jelas dengan kata-kata itu. Walhal kata-kata itu acapkali berpelesitan cuba menerobosi tengkorak pejalku. Selain terlonta-lonta cuba menyamai oktah denyutan nadiku. Oktah yang akan membentuk irama dan dimensi dalam waktu hidupku. Irama kehidupan yang sering berubah-rubah.
“Bilakah ‘sekarang’ dan ‘esok’ yang dimaksudkan itu?”
Aku masih kurang pasti! Apatah lagi Ado tidak pernah menerangkannya kepada kami.
Begitu juga, pernah aku bertanya tentang perkara yang sama kepada ayahku. Tetapi ayahku hanya tersenyum memandangku. Selain sepotong bicara yang menambahkan spektrum pelangi di pundakku.
“Tengoklah kembali perjalananmu saat ini, akan menuju kemana? Apakah ke arah yang lebih baik, atau ke arah yang lebih buruk, atau tetap saja seperti saat ini?”
Aku hanya mampu terhenyek di tempat dudukku. Kaku sebab terhimpit oleh dua keadaan yang betul-betul merampas keghairahanku. Ini atas keinginanku untuk memahami sejauh manakah masa itu begitu penting untuk setiap orang. Keghairahan itu yang menjadi elemen pokok yang meringankan upaya dan megubah kegiatan-kegiatan yang biasa pada asasnya menjadi suatu kebiasaan yang dapat dinikmati.
“Dom, bersabarlah. Suatu masa itu pasti akan datang. Biarlah waktu itu sendiri menentukannya. Buat masa ini, biarlah kita pasrah dengan gelombangnya.” Bisikan tersebut yang menjentik cuping telingaku sedikit meremangkan bulu romaku.
Ibuku kelihatan sudah duduk betul-betul di sebelahku. Tanpa disedari olehku. Mungkin ibu lebih memahami situasiku waktu itu. Keadaan seorang anak yang hampir sejam duduk menatap batasan waktu yang tidak terhingga. Atau mungkin sedang berusaha mencari erti hidup dan kematangan diri.
“Lagi Dom. Apa yang bakal kita dapat dari kehidupan kita adalah bergantung dari apa yang kita masukkan ke situ.” Tambah ibuku lagi. Kali ini nadanya betul-betul meruntun-runtun tangkai hatiku. Mendayu-dayu menyamai tingkah irama di dadaku.
Walhal, aku sering mendengar kata-kata yang sama dari mulut ayahku. Atau dari mulut Ado. Tetapi pemiliknya yang sebenar aku masih kurang pasti. Sama juga seperti kehidupan, sukar ditentukan ketentuan itu dimiliki oleh sesiapa. Makanya, masing-masing harus berusaha untuk menemukannya. Menemukan jalan yang benar untuk mendapatkannya. Tidak kira sama ada jalan itu melengkung atau lurus sekalipun.
Atau .....
“Ah.. Alangkah indahnya jika hidup itu adalah mimpi. Mimpi-mimpi indah yang boleh direka-reka!”

No comments: