Tuesday, February 17, 2009

Satu penilaian...........




Salam. Hari ini 18 Februari 2009, saya terpanggil untuk mempertahankan cerpen Empayar Malakut Sepi. Bukan apa, ia sudah lumrah dalam dunia sastera untuk mempertahankan karya ciptaan masing-masing. Tidak salah bukan?! Ia juga untuk melontarkan dan mengusir pelbagai pertimbangan yang dibangkitkan oleh pengkritiknya, Cikgu Jais Sahok. Itu hak Cikgu Jais untuk mempertimbangkannya. Hak sebagai seorang pengkritik yang tugasnya untuk mengkritik. Harus saya sedari. Pengkrtik tugasnya adalah mengkritik. Saya terima seadanya di dalam selirat kognitif saya sendiri. Saya wajarkan.

Apa yang mengundang keresahan bagi saya adalah Cerpen Empayar memiliki pelbagai wajah, seperti yang dikatakan oleh Cikgu Jais Sahok.Untuk makluman juga, seorang lagi saya tidak mengenalinya. Maaf buat penulis tersebut. Sukar untuk saya terima walau hakikat saya juga pernah diajar oleh seorang guru. Tidak patut pula rasanya untuk saya mempertikaikannya. Apatah lagi untuk melanggar ajaran yang guru beri. Itu durhaka namanya. Mengikut pemikiran saya.

Berbalik semula kepada Cerpen Empayar Malakut Sepi, saya menghasilkan karya ini pada pertengahan tahun 2008(Kalau tidak silap). Maklum, saya bukanlah orang yang suka mencatatkan pengelamaan saya dalam diari. Jadi adalah susah untuk saya menyatakan kebenaran tarikh sebenar lahirnya karya EMS. Itu bukanlah persoalannya? Cuma saya tertarik dengan pentafsiran yang mampu dicernakan oleh Cikgu Jais, bakal seorang doktor (PHD). Tahniah! Saya kagum. Mungkin juga kesilapan saya, (saya akui) kerana EMS ini sengaja saya buatkan sedemikian yang asalnya saya Cuma teruja dengan situasi semasa yang melanda Sarawak masa itu. Maksud saya isu yang kecoh diperkatakan tentang dasar-dasar yang ingin membina empangan bagi menampung keperluan pembangunan. Mungkin di sini Cikgu Jais terlepas pandang tentangnya. Atau Cikgu Jais terlalu sibuk dengan kajiannya. Itu tafsiran saya. Maklum, sebagai seorang insan yang dilahirkan terdedah dengan alam sekitar, maka saya terpanggil untuk menghasilkan karya ini. Maka, saya tidak nafikan yang pemikiran yang saya ketengahkan adalah hasrat dan perasaan seorang insan yang betul-betul menyelami erti ‘hutan’. Memahami harga sebuah khazanah yang semakin dihimpit pembangunan. Salahkah ia jika begitu? Samakah jika begitu? Kerana saya sedar Encik Jong hanya seorang pemerhati yang peka dalam menghasilkan cerpen Pindah. Tetapi berbanding saya yang sememangnya lahir dari sebuah rumah panjai dan dibesarkan di sekeliling hutan. Rasanya bukan sesuatu yang mengaibkan untuk mengetengahkan situasi ini. Nah! Apakah persamaannya dengan cerpen Encik Jong(Saya hormati dan sanjungi sebagai seorang penulis Sarawak yang betul-betul berjaya.) Bukan maksud saya merendahkan yang lain. Tapi saya seorang yang sedar diri, adakah layak saya mengikut cara Encik Jong? Adakah layak saya menyamakan penulisan saya dengan Encik Jong? Amat memalukan diri saya jika begitu!! Dan haruslah disedari juga, mungkin Cikgu Jais belum lagi membaca cerpen saya yang terdahulu. Saya tidak terkilan pun. Maklumlah saya hanya seorang budak dan murid yang baru belajar. Agak tidak padan juga cikgu Jais untuk membaca cerpen seorang budak yang pemikirannya masih tidak setanding dangan Cikgu Jais. Maka, saya minta ehsan Cikgu Jais untuk meneliti atau paling tidak bertanya tentang pendekatan saya dalam cerpen. Hampir semuanya berunsur keindahan alam. Itu wajah dan riak muka saya dalam cerpen. Itu wajah sebenar saya, seorang insan kerdil yang suka berteriak mengenai kepentingan menjaga keindahan alam. Adakah ia wajar disamakan dengan Encik Jong? Terpulang andai masih berfikiran begitu. Mungkinkah Encik Jong pencinta keindahan alam melebihi diri saya? Cuma Encik Jong sendiri yang mengetahuinya. Dan Cuma saya sahaja yang mengetahui sejauh mana hati saya terluka dan digarami apabila hutan tempat saya melastik burung dan mengetah burung satu masa dahulu kian sirna. Dimanakah persamaannya yang boleh dibangkitkan di sini? Saya tidak dapat menjawabnya. Maklum saya hanya seorang budak yang baru mendalami bidang sastera yang sebelumnya tidak peka. Apa yang membuat saya tertarik dengannya, hanya di situlah saya mampu mengetengahkan pergolakan yang melanda anak-anak dan para ibu bapa yang risau tentang kemusnahan yang melanda hutan tempat masing-masing mencari rezeki. Hanya mereka yang mengerti betapa pedihnya mencari sesuap nasi dengan keadaan hutan yang semakin sempit. Hanya mereka yang mengerti jerihnya membesarkan anak dan menyekolahkan anak samapai peringkat universiti dengan tekanan yang sedemikian. Itulah kehidupan yang saya lalui. Sehingga betapa sedihnya saya melihat keluarga merempat menanam padi di celah pokok sawit. Itulah hakikat hidup yang saya cuba ketengahkan. Samakah ia dengan konsep yang cuba Encik Jong ketengahkan? Harap Cikgu Jais menyeledikinya semula atau paling kurang pun cuba untuk bertanya dengan Encik Jong.
Dan lagi, sesungguhnya lahirnya EMS adalah untuk menarik perhatian umum tentangnya. Maksudnya saya sengaja mengolah keadaan atau mereka cerpen tersebut sebagai cerpen satira. Maka, adakah kata ganti nama “dia” adalah sesuai untuk diguna pakai oleh burung helang? Ini saya perlu bertanya dengan pihak DBPCS untuk kepastian. Takut pula pengertian saya salah. Takut dikatakan menjadi ketam mengajar anaknya berjalan. Alangkah mengaibkan jika begitu!!!!!
Lagi, adakah manusia tidak menerima kesannya akibat pembangunan? Haruslah diteliti, adakah logik unggas membina empangan hidro dalam rangkap yang ke-4 akhir EMS? Siapakah yang dikatakan layak membaca surat khabar? Bukankah itu manusia yang hanya diamanahkan kerja oleh pihak tertentu? Mungkin silap saya juga cuba menyembunyikan sesetengah watak yang sepatutnya dinyatakan dengan jelas. Berbaloikah jika begitu? Jadi hilanglah seninya sebuah karya jika begitu?
Tetapi sesungguhnya saya amat berbangga dan berterima kasih dengan Cikgu Jais kerana menyedarkan saya. Agar saya meningkatkan lagi mutu penulisan saya. Terima kasih kerana Cikgu Jais adalah cikgu bukan sahaja di sekolah yang telah agak lama say tinggalkan. Tetapi hingga ke hari ini saya banyak belajar dari buku-buku yang Cikgu Jais terbitkan. Sekian. Terima kasih.

No comments: