Hemopoises, hemolisis dan homeostasis.
i
Walaupun ini kelihatan seperti halusinasi, ilusi, delusi atau mimpi. Namun, semuanya tetap bersifat relatif dan bukan bersifat mutlak. Ia tidak ubah seperti hipotesis yang sering digunakan di dalam teori sains. Atau seperti pembolehubah yang digunakan dalam matematik. Kekadang pernah juga ia menjadi benar dan ada masa pula sukar diterima. Ia akan menjadi benar hanya untuk sewaktu ketika, tetapi akan menjadi palsu sewaktu ia dibuktikan salah untuk suatu tempoh yang akan datang. Suatu tahap pasti akan menimbulkan alahan terhadap temberang.
ii
Oleh aku yang tiba-tiba terpelesit ke daerah ini, makanya untuk aku menceritakan tentang keadaan di daerah ini, aku perlu merujuk beberapa sumber yang tidak akan pernah diperdulikan sebelum ini tentang daerah ini. Apatah lagi, sehingga ketika ini, aku sendiri pun masih tidak jelas tentang mengapa aku menjadi insan terpilih untuk menduduki daerah ini. Bahkan juga aku kurang pasti tentang status aku di daerah ini (walaupun dari segi kewarganegaraan aku telah diiktiraf).
Apa yang pasti, aku sekadar ingat yang aku tiba-tiba sahaja wujud di daerah ini. Pelik tapi itulah kebenarannya. Persis juga kehidupan itu sendiri, jawapannya sukar untuk diketemukan. Andai ditemui, maka nilai hidup itu sendiri menjadi tidak bermakna. Atau mungkin juga ibarat ilmu kira-kira, segalanya penuh dengan kebarangkalian. Kebarangkalian ini yang kerap timbul disebabkan ternoda oleh ralat yang hadir oleh kepelbagaian situasi.
Sebagai perbandingan, bayangkan sahaja, aku sering terpampan oleh kata-kata Aristotle yang pernah menyifatkan bahawa manusia adalah sebuah kerajaan. Ini meliputi sebuah kerajaan yang dibentuk oleh manusia yang amat menginginkan dan memerlukannya. Selain sebuah kerajaan yang cuba dibina oleh manusia yang teramat senang untuk memetakan dunia menjadi petak-petak yang langsung tidak aku fahami. Pedulikan!!!
Makanya, bagi memudahkan keadaan, aku menyediakan sendiri nama khas untuk daerah ini. Memungkinkan daerah ini memiliki namanya yang tersendiri tetapi aku lebih senang dengan nama yang aku ciptakan. Itu pun untuk menamakannya sebagai daerah Figuratif, ia telah memaksa sel-sel otakku untuk berkerja secara tunggang-langgang. Kononnya bagiku, ini hanya untuk mengelakkan ralat di dalam cerita tentang daerah ini. Selain daripada berbohong dengan diriku sendiri tentang pandangan dan penerimaanku terhadap daerah ini.
Maklum juga, daerah Figuratif seperti yang telah dinamakan ini, aku anggap kewujudannya hanya sekadar berasaskan sebuah dunia kiasan atau fantasi semata-mata. Atau ia cuma wujud bagi memenuhi latar tempat di dalam secebis ceritera indah tentang halusinasi, delusi, ilusi dan mimpiku. Sebabnya, ia tidak lebih kepada apa-apa sahaja yang abstrak yang aku fikir dan lihat di daerah ini. Jadi aku mohon relakan!!!
iii
Oleh refleksi spektrum warna atau keadaan metafora yang menghiasi daerah ini (atau oleh usia yang masih hijau untuk memahami semua ini), aku mula menyalangkan serta menajamkan setiap deriaku. Maklum, aku takut tertipu oleh diri sendiri atau oleh apa-apa sahaja. Ini atas keyakinanku yang aku kerap tertipu oleh gaya yang sering hadir sebagai sesuatu yang palsu di daerah ini. Gaya ini meliputi cara berpakaian, ragam dan juga penampilan setiap penghuni yang berbeza-beza. Ini bagiku seolah-olah bertujuan hanya untuk menunjukkan status, identiti serta latar belakang masing-masing. Bagiku, ia mungkin tidak akan pernah lebih daripada itu.
Bagi memudahkan lagi cerita, aku andaikan sahaja keadaan ini dapat aku rujuk kepada gambaran terhadap istilah ‘persona’ seperti yang dikatakan oleh masyarakat Yunani terdahulu. Yakni maksud ‘persona’ itu lebih merujuk kepada istilah topeng yang membentuk personaliti setiap individu. Topeng yang menyembunyikan wajah atau menunjukkan wajah sebenar setiap penghuni daerahi ini.
Oleh yang demikian, tanpa dipaksa oleh sesiapa, aku dengan berani cuba membukakan segala isi rongga tengkorak (isi tengkorakku yang bersifat hampagas) untuk mencari sebarang intipati agar aku tidak diperbodohkan. Namun, acapkali juga aku terkesima oleh sesetengah helaian di benak yang terkoyak. Malah sirna menjadi puing-puing pengalaman yang tercicir tanpa berbekas. Sebelum bertebaran di sapu pawana dari celahan tubiran sejarah serta di segenap ceruk di daerah ini yang sukar dikutip kembali. Tambah menyedihkan pula memungkinkan ia susah untuk dicantumkan kembali menjadi kepingan-kepingan jubin yang dapat membentuk lantai kehidupan yang bakal diduduki sewaktu memerlukannya.
Makanya, selepas itu, walaupun tanpa sebarang kerelaan, aku sengaja memilih untuk bersikap agak mementingkan diri. Yakni aku harus lebih percaya dengan diri sendiri sahaja. Apatah lagi, di daerah ini, masing-masing memiliki kebebasan dalam apa-apa sahaja asalkan tidak melangkaui batasan doktorin-doktorin yang ditetapkan. Katakan sahaja, pasti boleh dilakukan atau diadakan. Ini aku pasti walaupun acapkali juga ia mungkin pernah melangkaui garisan parameter yang pernah ditetapkan. Tetapi sering kali juga ia terlepas begitu sahaja. Atau terbiar begitu sahaja menjadi isu yang basi.
Namun begitu, kekadang situasi ini tetap juga bergantung dengan sifatnya. Sebabnya melalui pandangan mataku, tanpa duit atau kedudukan, keadaan ini tidak akan pernah menjadi isu hangat di daerah ini. Bahkan ia hanya akan wujud menjadi manisan di celahan bibir penduduk setempat di segenap ceruk di setiap kedai kopi tepi jalan sahaja. Ini merangkumi kebebasan beragama, bersuara, mengamalkan cara hidup kaum masing-masing atau kebebasan untuk memilih pemimpin yang bermotifkan untuk menjaga kepentingan dan keperluan di daerah ini atau yang sebaliknya.
Jadi di daerah ini, boleh dikatakan yang keadaan yang paling penting, masing-masing hanyalah kena faham tentang keperluan hidup untuk diri sendiri serta kepentingannya kepada orang lain. Walhal, pernah juga aku tercuri pandang dan dengar tentang rentetan sejarah sebelum ini yang mengatakan tentang daerah ini tidak pula pernah bergantung kepada doktorin-doktorin. Tetapi aku kurang yakin dengannya. Ini kerana masing-masing ketika itu pernah bergantung kepada budaya ketimuran di daerah ini.
Oleh budaya inilah yang membenarkan masing-masing saling hidup dalam suasana kemasyarakatan yang aman dan harmoni. Selain saling bantu-membantu serta faham-memahami tanpa beralaskan selembar benang pun doktorin, undang-undang atau akta-akta yang digubal dengan sokongan atau tanpa sokongan penghuni di daerah ini. Dan untuk suatu tempoh dalam beberapa dekad kebelakangan ini, keadaan doktorin ini pula seolah-olah menjadi dasar untuk masing-masing mula mempersoalkan pelbagai pandangan atau pendapat. Bahkan kekadang sampai bertekak tanpa asas yang jelas. Tetapi aku tidak pula pasti tentangnya. Maklum, aku tidak pernah berkesempatan untuk merasai semua itu.
Lalu tanpa segan-silu, ia menyebabkan aku mula percaya bahawa kenyataan Aristotle itu boleh aku ketepikan dengan pandangan sendiri. Apatah lagi, pendapatku agak berbeza dengan pendapat Aristotle tentang daerah atau negara yang pernah diwujudkan di ruang tempat atau ruang masa sekalipun.
Maklum, menurutku, situasi di daerah ini aku lihat lebih mirip kepada sistem tubuh badan manusia. Sistem tubuh yang selalu berkait antara satu sama lain. Ini meliputi fungsi setiap sistem atau organ yang membinanya. Atau lebih spesifik ia merujuk kepada sistem peredaran darah manusia. Yakni, jika terdapat sebarang ketidakseimbangan yang akan tercetus, maka istilah penyakit atau kecederaan akan berlaku. Atau memungkinkan juga kematian yang bertamu.
Begitu juga sebaliknya, setiap benda yang mendatangkan kebaikan, haruslah melalui sebarang evolusi. Seperti juga sistem imunisasi badan, sering berinteraksi terhadap setiap bendasing yang terjebak atau mencerobohi sistemnya. Suatu tahap akan mencetuskan sistem pertahanan yang agak berkesan berbanding ubat-ubatan yang pernah diciptakan. Yakni, dari dimensi lain keadaan ini dilihat mampu mencetuskan perkembangan tamadun yang infiniti (jauh melangkaui tahap Ubermench) di seluruh daerah di daerah Figuratif ini.
Itu pula pandangan aku. Entah betul atau tidak, aku tidak pernah mengharapkan jawapan yang konkrit untuknya. Bagi aku, cukuplah ia sekadar untuk merungkai persoalan yang kerap bertamu di benak sendiri tentang keunikan daerah Figuratif ini. Ataupun oleh keindahan spektrum warna kehidupan yang terbabar di daerah ini yang memaksa aku untuk terus berjaga. Selain lali dalam meneliti setiap detik dan saat yang merangkak dengan hencotannya tanpa termampu aku lengahkan walaupun hanya untuk sesaat yang sering tidak terindahkan oleh setiap makhluk yang merentasi garisannya.
iv
Penghuni di daerah ini juga, menurut pandangan kedua-dua deria mataku, turut boleh dikategorikan sebagai unik oleh sesuatu yang sukar untuk diterangkan dengan sebarang kata-kata olehku. Apatah lagi, kata-kata itu sendiri sememangnya tidak mungkin mampu menjelaskan apa-apa sahaja yang terlakar di relung pemikiran setiap insan. Lebih-lebih lagi ia meliputi pemikiran setiap orang yang wujud sebagai manusia yang membentuk kerajaan di daerah ini. Apatah lagi, dalam masa yang sama, penghuni daerah ini turut terbezakan warna, bau, rasa dan apa-apa sahaja (terpulang kepada keinginan individu untuk menentukan).
Antaranya, di salah sebuah kawasan yang telah dipetakan di daerah ini, pandangan mata aku sering terpana pada kelompok-kelompok manusia yang aku sendiri tidak jelas dengan status masing-masing. Lebih-lebih lagi, menurut cerita oleh sumber yang tidak jelas yang sesekali menjentik cuping telinga, kelompok-kelompok itu wujud oleh masing-masing yang berkeinginan untuk membezakan kemampuan dan latar belakang diri. Ini meliputi apa-apa sahaja yang dianggap unik oleh masing-masing berbanding yang lain.
Katakan sahaja, pasti perbezaannya boleh dicari: intelektual, budaya, gaya, warna, jantina atau apa-apa yang termampu untuk difikirkan. Semuanya kemudian akan berpadu untuk menghimpunkan warna yang indah untuk ditatapi umum. Memungkinkan ini jauh lebih indah dari cahaya aurora atau dari cahaya putih yang diserakkan menjadi spektrum warna.
Jauh di petak lain pula, keadaannya sedikit berbeza. Ini aku pasti oleh sesetengah penghuni kelihatan agak kurang selesa dengan keadaan diri masing-masing. Sukar juga untuk dikatakan yang penghuni tersebut tidak pernah bersyukur atas apa-apa yang termampu atau pernah untuk dimiliki. Atau sememangnya masing-masing tidak pernah mengerti tentang istilah, seseorang yang berjaya adalah kerana beranggapan apa-apa yang dimiliki itu cukup untuk memuaskan diri sebelum meneruskan usaha bagi mengekal serta meningkatkannya. Walhal aku tahu masing-masing sering berusaha kearah untuk menjadi yang terbaik kepada diri sendiri dan orang lain.
Tidak kurang pula masing-masing yang sering bertukar pandangan tentang hak masing-masing di daerah ini. Hak ini merangkumi kepentingan masing-masing secara individu atau bersama. Yakni, keadaan ini kerap menimbulkan isu-isu yang agak panas sedikit dari isu di kedai kopi.
Bahkan, suatu ketika masing-masing saling cabar-mencabar antara satu sama lain. Walhal kekadang isunya tidak lebih kepada isu-isu hanyir di pasar ikan sahaja. Ini aku pasti kerana kerap mendengarnya dari liputan media yang luas tentang keadaan sebegitu. Memungkinkan ia bertujuan untuk memantapkan lagi kemajuan yang sedia ada di daerah ini. Atau tidak dapat dinafikan juga ini mungkin bagi menggalakkan perkembangan tamadun bangsa yang sedikit terkebelakang (pada tanggapan masing-masing) di daerah ini. Namun, bagiku semuanya menjurus kearah suatu tujuan yang belum termampu untuk aku fikirkan untuk suatu waktu.
Nah! Di sinilah apa yang aku perkatakan sebagai keunikan penghuni di daerah ini. Keunikannya yang aku anggap begitu menyamai sifat sistem darah manusia. Sistem darah yang menjadi nadi atau penggerak kepada sistem tubuh badan yang lain. Selain menjadi batu asas kepada kerajaan yang aku anggap wujud di dalam tubuh badan manusia. Kerajaan tubuh badan yang terbentuk dari darah yang mengisi setiap sel-sel ruangnya.
Darah seperti yang telah diketahui umum (oleh aku beranggapan semua penghuni daerah ini memiliki intelektual yang tinggi) serta telah diterima pakai oleh semua golongan intelektual yang lain, diperkatakan terdiri daripada eritosit, leukosit dan juga platelet. Yakni secara semulajadi, masing-masing saling memerlukan. Masing-masing saling berkepentingan. Walaupun dalam sesetengah hal, mungkin tetap timbul perkataan mementingkan diri. Tetapi ia boleh sahaja dianggap sebagai sistem pertahanan diri.
Apatah lagi, semasa pembentukan daerah ini, persetujuan dan kesepakatan telah diterima dan dipersetujui oleh semua pihak. Makanya, untuk mengenepikan situasi tersebut, pasti memerlukan penelitian demi penelitian. Ini bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini. Selain mengelakkan sebarang rasa tidak puas ati dengan apa-apa yang telah diterima sebelumnya. Walaupun mungkin pada dasarnya, masing-masing memiliki kuasa yang termampu untuk memindanya. Tetapi haruslah difahami serta diingatkan, kepentingan yang asal haruslah diutamakan demi menjaga kepentingan bersama.
Maksudku di sini, ia memiliki cirri-ciri yang bersamaan dengan pembentukan sistem darah manusia yang berlaku oleh situasi yang sama. Ini dapat dikatakan yang daerah ini terbentuk oleh proses homeopoesis. Proses homeopoesis ini sebenarnya berfungsi untuk mengekalkan homeostasis badan. Ia merangkumi kepelbagaian yang unik dan sukar untuk diterangkan satu persatu. Tetapi tujuannya tetap sama iaitu untuk terus mengekalkan faedah bersama. Walhal, ia mungkin kelihatan sukar, tetapi harus juga difahami serta diamalkan bagi mengekalkan momentum keunikannya yang telah sedia ada.
Walaupun mungkin pernah wujud hakikat kehidupan seperti yang diperkatakan oleh Erik Erikson dalam teori psikososial, setiap sifat sering akan hadir secara berlawanan. Tetapi, bagi setiap individu yang memiliki perkembangan personaliti yang berterusan sepanjang hayat seharusnya terus dan memahami kompenan positif dan negatif dalam diri masing-masing. Ini bagi menyeimbangkan setiap kehadiran kebaikan dan keburukan yang pasti wujud di setiap ranjau yang direntasi.
Tetapi di sini, ia bukanlah boleh dianggap sesuatu yang tidak munasabah semata-mata. Sebaliknya ia lebih kepada suatu keadaan bagi membentuk keseimbangan yang berterusan. Maksudku, di daerah ini, keadaan saling cuba menghapuskan dan mengurangkan hak dan merendahkan status lawan masing-masing harus juga diadakan yang berasaskan motif yang jelas.
Apatah lagi, sikap sebegini aku boleh samakan pula sebagai hemolisis. Yakni, hemolisis ini aku rujuk kepada istilah pemusnahan darah merah di dalam sistem darah manusia. Sebabnya, darah merah ini aku anggap lebih merujuk kepada sifat penghuni biasa atau berstatus biasa di daerah ini.
Tetapi, pemusnahan atau penyingkiran ini bukanlah bersifat menyeluruh. Sebaliknya lebih kepada penghuni atau eritrosit yang terevolusi. Atau mungkin juga kepada eritrosit yang terlebih aktif untuk bermutasi. Jadi agak wajar situasi sebegini disingkirkan. Niatnya ini bagi mengekalkan keseimbangan pentadbiran dan kemakmuran di dearah ini.
Sebab yang kedua yang mampu aku fikirkan adalah memungkinkan jumlah penghuni sudah melebihi tahap kependudukan yang dibenarkan di daerah ini. Jadi, bagi mengurangkan tekanan kepada pihak yang berstatus lebih tinggi dalam mengekalkan kepentingan masing-masing, ia haruslah disingkirkan walaupun tanpa kerelaan. Natijahnya, mungkin ia boleh dirujuk kepada hukum Boyle. Maknanya, apabila tekan meningkat, isipadu pula haruslah dikurangkan. Tujuannya tetap sama iaitu bagi mewujudkan keseimbangan seperti yang diinginkan.
Tetapi, keadaan ini menimbulkan pula persoalan lain di benakku. Maklum, aku melihat ia seperti cuba mengaburi mataku. Mana tidaknya, ia kelihatan seolah-olah cuba menipu pandanganku. Sebabnya aku masih kurang jelas. Memungkinkan bagiku ia bertentangan dengan alasan yang kurang kukuh tentang sumbatan darah dan platelet yang tidak pula pernah untuk disingkir atau dihapuskan oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Ini aku pasti oleh kehadiran istilah iskemia dan embolisma di dalam salur darah yang tidak pernah pula ditangani dengan sebaik mungkin. Apatah lagi tindakan leukosit sering mendapat tentang oleh sebilangan eritrosit yang mungkin sudah bermutasi. Itu aku sendiri kurang jelas tentang situasinya.
Malah, oleh kehadiran mikroorganisma atau virus, keadaan eritrosit dan leukosit pula yang sering tergugat. Lebih menyedihkan lagi, kehadiran kedua-duanya sering terlepas pandang atau sengaja digauli oleh masing-masing. Memungkinkan juga alasannya adalah mikroorganisma dan virus ini memiliki sistem pertahanan dan keunikannya yang tersendiri. Jika tidak, mengapa pula sebarang kehadiran bendasing yang bersifat patogen atau yang bersifat musang berbulu ayam ini mampu menempatkan diri untuk menjadi penghuni di daerah ini. Sedangkan masing-masing berupaya dan berkebolehan untuk menilainya dengan intelektual yang tinggi seperti yang masing-masing pernah kata dan bayangkan.
Begitu pula, aku sering ternoda oleh pandangan mata hati yang beragam tentang penghuni dan situasi di daerah ini. Sedangkan aku sendiri sebenarnya masih kurang jelas tentangnya. Atau memungkinkan dalam erti kata lain aku tidak lebih seperti seorang peluncur ombak yang hanyut ke tengah lautan yang langsung tidak memahami makna untuk meneruskan perjuangan dan daya untuk terus hidup.
Atau mungkin juga aku kelihatan seperti seorang pengembara yang tersesat untuk menemui arah yang ingin ditujui. Atau mungkin juga seperti seorang bayi yang masih sukar membezakan sebarang warna yang dilihat. Atau memungkinkan watak aku hanya watak abstrak sahaja di daerah ini. Jadi andaikan sahaja, pandangan mata hati aku itu lebih kepada paradok sifatnya.
v
Di suatu saat yang tidak akan pernah terduga, aku tiba-tiba terlontar pula ke arah perhimpuan manusia di daerah ini yang langsung aku tidak fahami tentang tujuannya. Apa yang pasti, sejak akhir-akhir ini, perhimpunan sebegini bukanlah julung kali diadakan. Tetapi semakin kerap seperti kehadiran hujan di musim tengkujuh. Suatu tahap pasti menghadirkan bencana banjir yang akan merugikan.
Di perhimpunan ini, mataku yang pada kebiasaannya begitu terang terasa mula berpinar untuk membezakan status penghuni sebenar daerah ini. Ini aku pasti kerana aku mula kurang pasti dengan setiap identiti penghuninya. Masing-masing seolah-olah mula berubah. Bahkan mula mengenakan ‘persona’ masing-masing yang sebenar. Ini memungkinkan keadaan yang mendesak masing-masing untuk berbuat demikian. Selain keadaan yang mula berubah oleh daerah ini sudah memasuki era globalisasi dalam sistem pentadbiran serta keintelektualan masing-masing. Itu menurut pandangan mataku untuk kali ini.
Bayangkan sahaja, sebelum ini aku begitu pasti sama ada penghuni tersebut berstatus eritrosit, leukosit, mikroorganisma atau virus. Tetapi oleh keadaan yang tidak terduga atau oleh keseimbangan yang mula goyah oleh sebab yang tidak dapat dipastikan, semuanya menjadi begitu berbeza. Memungkinkan inilah kesan kepada status yang cuba diwujud atau dikekalkan di daerah ini.
Rumit. Semuanya kelihatan menjadi rumit. Walhal, sebelum ini atau beberapa dekad yang lalu, menurut sumber yang pernah menerjah gegendang telingaku, semuanya dalam keadaan terkawal. Semuanya berpadu mengekalkan homeostasis di daerah ini. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, oleh keadaan yang tidak ada hujung atau pangkal, keadaan menjadi terubahkan. Namun aku pasti, itulah sebenarnya keunikan yang mungkin ingin diciptakan di daerah ini. Jika tidak, keunikan tersebut pasti akan menjadi basi atau lapuk. Sudah pasti di suatu masa ia pasti akan meloyakan jika terus ditatap atau dinikmati sepanjang zaman di daerah ini.
vi
“Gulingkan leukosit yang semakin tidak berdaya?!”
“Sebabnya?”
“Leukosit tidak akan pernah menjaga kepentingan daerah ini. Leukosit bersifat kuku besi.”
Dari sudut lain pula, berkumandang jeritan sebegini. Jeritannya kedengaran berterusan menerusi medium yang tidak dapat dikenalpasti.
“Hapuskan mikroorgnisma dan virus yang tidak berguna!!”
“Sebabnya?”
“Kedua-duanya tidak kenal erti untung. Kedua-duanya pemusnah bangsa.”
Dari arah yang lain pula, aku tersipu-sipu mendengar kata-kata, “Bodohnya eritrosit yang terpedaya!!”
“Sebabnya?”
“Eritrositlah yang menentukan homeostasis di daerah ini. Eritrositlah yang sebenarnya punca kuasa yang sering disalahgunakan. Atau………”
“Hahaha!!! Kamu semualah yang sebenarnya buta. Gila dengan segala-galanya di daerah ini. Sedangkan musuh kamu yang ketara ialah diri kamu sendiri!!”
Bertalu-talu jeritan itu memantak cuping telingaku. Kemudian meresap lalu menembusi tengkorak pejalku. Sebelum terlonta-lonta lalu melantun kembali bagi menembusi semula tengkorak pejalku dengan frekuensinya yang berbeza-beza. Namun usaha itu kelihatan hanya sia-sia. Tiba-tiba sahaja tengkorakku menjadi keras seperti batu bagi menghalang ia untuk keluar. Lantas satu persatu pula mula menghakis segala-gala isi rongga tengkorakku. Suatu tahap menimbulkan kesakitan yang teramat sangat.
“Ah! Apakah aku tersepit di antara halusi atau mimpi ini lagi? Tolonglah kejutkan aku atau lupuskan aku dari tekanan ini. Itupun jika keadaan yang aku lihat dan cuba gambarkan ini benar-benar berlaku. Tidak!! Aku tidak ingin menjadi manusia yang kerap disamakan sebagai haiwan politik….”
Begitu pula aku cuba mengerik. Tetapi aku pasti, ia hanya sia-sia. Kelibatnya tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Maklum, di daerah ini semua medium perantaraan atau persekitaran selalunya bersifat vakum. Yakni, untuk menyedarkan kesemua penghuninya yang memiliki intelektual yang tinggi berbanding aku, sudah pasti terlalu janggal sifatnya. Itu aku pasti kerana aku hanyalah sekadar tetamu yang tidak pernah dikenali dan tidak akan pernah diundang di daerah ini.
Akhirnya, oleh ketegangan atau oleh sesuatu yang tidak akan pernah cuba untuk aku bayangkan, semuanya mula kelihatan semakin menggelap dari pandangan mataku. Sebelum bersatu menjadi titik buta yang tidak dapat digambarkan atau diterangkan dengan sebarang perkataan sekalipun. Ia tidak ubah juga seperti persoalan yang bertamu di mata hatiku. Sirna bersama bayangan atau jasadku yang mungkin tersedut kearah mana pula untuk kali ini. Tetapi aku dengan rendah hati sudah semesti akan merelakannya. Selain berserah oleh tidak ingin terus terseksa oleh setiap panahan yang kian mencucuk-cucuk pedih ke tangkai hati. Selain turut menyiat-nyiat isi dagingku.
vii
Lap! Dap! Lap! Dap! Beep …………………
Jauh di dasar aku melihat jasadku sudah mula hancur dan menjadi lumat kerana dipijak-pijak oleh sesiapa sahaja. Suatu ketika memungkinkan jasadku akan dikitar semula untuk meneruskan kepentingan perjuangan hidup masing-masing. Kepentingan masing-masing untuk menambahkan lagi keindahan dan keunikan daerah ini bagi tatapan umum.
Namun yang pasti, daerah ini telah meninggalkan misteri yang tidak berpenghujung dan tidak terungkaikan yang pernah aku lalui. Memungkinkan juga inilah keunikan sebenar daerah ini. Keunikan yang mungkin disengajakan atau mungkin tidak oleh tekanan hidup yang memaksa masing-masing untuk menghapuskan golongan-golongan yang sudah tidak berguna lagi.
Atau sukar juga untuk diramalkan yang situasi ini sememangnya disengajakan bagi masing-masing yang ingin menempa nama-nama khas yang akan terpahat kukuh di tugu peringatan tanpa pernah hakis di daerah ini. Yakni, di sebuah daerah yang galak mewujudkan homeostasis yang semakin berjerejakan yang mengabah kepada sesuatu tujuan.
Nawaitu, bagiku, ia mungkin salah satu asas kukuh yang akan digunakan bagi membina tamadun bangsa yang akan berterusan kearah sesuatu destinasi yang tidak dapat ditentukan. Maklum, bagi orang yang seperti aku yang tidak tahu tentang masa depan, pasti keadaan sebegini adalah sesuatu yang amat menakutkan. Tetapi yang pasti, penghuni-penghuni daerah Figuratif yang berintelektual dan bertamadun tinggi sudah pasti tahu tentang jawapannya.
viii
“Tuhan, terima kasih kerana pernah membukakan ruang untuk aku menjadi narator dari desir suara sang bayu yang terlontar dari celah-celah ranting masa yang agak rapuh ini. Walaupun memungkinkan yang watak aku ini akan atau pernah wujud hanya sekadar sebagai secebis ilusi optik, tetapi aku mohon agar keindahan pelangi (salah satu ilusi optik) yang terbentang ini pastikan menyentap setiap pandangan mata hati.”
Cerpen yang dihantar untuk pertandingan menulis cerpen anjuran DBPCS
Tuesday, July 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment